Thursday, March 18, 2010

Jangan Salahkan Tuhan

(dipetik dari http://ms.langitilahi.com/motivasi-jangan-salahkan-tuhan/)

“Nak buat macam mana, dah takdir”

“Allah dah susun macam ni. Aku boleh buat apa lagi”

“Memang aku ni takdirnya jahat. Dah tak boleh ubah dah”

“Aku ni memang nasibnya bodoh. Belajar la macam mana pun, tak boleh”

Biasa mendengar kata-kata ini? Baik keluar daripada orang lain, mahupun daripada diri kita sendiri.

Kesilapan kita, adalah kita menyalahkan Allah SWT dalam hal ini. Kita kata, Allah dah takdirkan kita jadi jahat, bodoh, tak boleh berubah dan sebagainya. Sedangkan, kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita.

Jadi, jangan salahkan Allah SWT.

Lihatlah pada diri kita sendiri.

Siapa yang pada tempat pertama, memilih untuk terus menjahatkan/membodohkan/tidak mahu buat perubahan pada dirinya?

Allah itu kasih sayang-Nya luas

Allah SWT mempunyai ilmu yang sangat-sangat luas. Kasih sayang-Nya juga sangat-sangat-sangat luas.

Antara kasih sayang-Nya adalah, Allah tidak menjelaskan ilmu-Nya yang luas itu kepada manusia.

Saya bagi contoh, ilmu Allah SWT berkenaan perkara-perkara masa hadapan.

Allah tidak memberitahu kita. Allah tidak menceritakan kepada kita. Hal ini kerana, jika kita sudah tahu apa yang akan terjadi, maka terputuslah segala harapan kehidupan manusia. Manusia yang kehilangan ikhtiar, sama seperti mayat yang berjalan.

Hal ini kerana, dia tidak punya ruang untuk berusaha.

Tetapi Allah tidak memberitahu kita masa hadapan kita, apakah yang bakal terjadi pada kita, lantas mewujudkan kepada kita satu kuasa bernama IKHTIAR/PILIHAN.

Di sini, nyalaan harapan muncul pada manusia yang lemah.

Tanda kasih sayang Allah SWT yang sangat luas.

Allah suruh pilih, Allah suruh usaha

Dengan ikhtiar yang Allah kurniakan kepada manusia, maka manusia berhak memilih. Tiada paksaan. Cuma, di sini perlu diketahui bahawa, setiap pilihan mempunyai konsikuensi/kesannya.

Allah SWT berfirman:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.

Siapa yang memilih kebaikan, Allah akan berikan pengakhiran kebaikan untuknya. Siapa yang memilih kejahatan, hasilnya di akhir nanti adalah keburukan. Itu keadilan Allah SWT. Walaupun mengambil jalan kebaikan menyebabkan kita susah di dunia, Allah Maha Adil dengan memberikan kita kesenangan di syurga yang amat hebat, dan abadi selama-lamanya dalam kesenangan itu.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Allah mengarahkan kita berusaha di dalam ayat ini. Ini juga namanya adalah pemberian peluang oleh Allah SWT.

Maka, apakah kita boleh menyalahkan Allah, sedangkan kita yang tidak mengambil peluang?

Tuduhan pada Allah itu satu jenayah.

Di zaman Saidina Umar, ada seorang pencuri ditangkap. Apabila ditanya kenapa dia mencuri, dia menjawab: “Sesungguhnya, Allah telah mentaqdirkan aku untuk mencuri”

Saidina Umar berkata: “Potong tangannya, dan sebat dia 40 sebatan”

Saidina Ali yang ada ketika itu terkejut: “Wahai Umar, hudud untuk pencuri memotong tangan. Justeru, apa perlunya pada 40 sebatan?”

“Itu adalah ta’zir(hukuman dari pemerintah) kerana dia menuduh Allah SWT sesuatu yang tidak patut dituduhnya” Umar RA menjawab.

Ini menunjukkan bahawa, tuduhan bahawa Allah telah mentaqdirkan kita keburukan-keburkan, adalah satu jenayah. Kita meletakkan kepada Allah kesalahan-kesalahan kita. Sedangkan, pada asalnya, kita tidak akan tahu sesuatu perkara melainkan setelah terjadinya ia. Maka, pada ketika itu kita sepatutnya memilih untuk ke arah kebaikan, bukan mengambil keburukan.

Silap pada tempat pertama, adalah kita.

Kita yang memilih keburukan. Maka, di mana salahnya Tuhan?

Dah usaha, dapat keburukan juga

Ada banyak kes, manusia cuba menjadi baik, jadi pandai, jadi berjaya, tapi tak mampu juga. Dia dah usaha banyak kali, tetapi asyik gagal sahaja untuk mencapai kebaikan.

Akhirnya dia kecewa. Putus asa. Dan berkata: “Allah dah takdirkan aku macam ini nampaknya”

Kesilapan orang sebegini adalah, dia tidak melihat keluasan kasih sayang Allah padanya.

Apakah dia tidak melihat, bahawa umur masih ada padanya, masa masih bergerak di sekelilingnya, usianya masih diterus sambung? Jadi, di mana peluang untuk berputus asa? Putus asa ini hanya bila mati sahaja. Sebelum mati, kita punya banyak peluang dan ruang untuk berusaha. Tidakkah kita melihat kasih sayang Allah pada ketika ini?

Kesukaran kita mendapat kebaikan adalah satu ujian. Ia bukan satu alasan untuk mengambil keburukan dan redha dengan kerosakan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 2:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup bagi menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya; dan Dia itu Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

Ujian perlu ditempuh dengan kecekalan. Bukan berputus asa.

Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” Surah Yusuf ayat 87.

Hanya yang tidak percaya kepada Allah sahaja akan berputus asa.

Lihat. Pilihan di tangan anda. Kenapa anda memilih untuk tidak berusaha sampai ke akhirnya?

Penutup: Allah Maha Penyayang, kenapa kita mengkhianati-Nya?

Kita banyak songeh dengan menyalahkan Allah SWT itu dan ini. Sedangkan, Allah tumpahkan kepada kita banyak kebaikan. Keburukan-keburukan yang berlaku dalam hidup kita, majoritinya adalah kerana diri kita sendiri.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah As-Syuura ayat 30.

Kita lupa, bahawa Allah tidak pernah membutuhkan kita. Kita yang memerlukan-Nya.

“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.

Maka, apakah patut kita mengkhianati kasih-sayang-Nya yang luas itu dengan memilih keburukan, memilih untuk berputus asa, dan tidak bergerak untuk berusaha sehingga ke akhirnya?

Ketahuilah, walau usaha kita itu tidak berhasil, tetap ada pahala pada usaha itu.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7.

Besarnya kasih sayang Allah. Kita yang mengkhianati-Nya.

-Hilal Asyraf-

Monday, February 22, 2010

keranaMu,kami tinggalkan..

[dipetik dr http://drnurfarahaisyah.blogspot.com/]

Dengan nama Allah
Sebaik-baik Pemberi Ganjaran

Namamukah yang tertulis di luh mahfuz sana?
Engkaukah yang bakal menemaniku jalan menuju syurga?
Dirimukah yang akan melengkapkan separuh dari agamaku?
Aduhai pria.
Adakah kau yang tercipta untukku?
Jawab pertanyaanku ini.
Jawab!

Kau takkan pernah dapat memberi jawapan
Kerna jawapannya bukan di tanganmu
Tetapi di tanganNya.
Di tangan Tuhan kita; Allah
Tuhanku dan Tuhanmu

Gelisahku memikirkan dirimu
Dan ketakutanku
memikirkan Tuhanku
Aduhai pria
Maafkan aku.
Ketakutanku pada Tuhanku melebihi kegelisahanku memikirkanmu

Jemput diriku
pabila waktunya tiba
Sebelum sampai saat itu, biarkan aku sendiri bersama Si Dia
Akan kucipta cinta bersama Dia
Sebelum kucipta cinta antara kita

Jadilah dirimu kumbang yang hebat
Dan doakan aku agar menjadi bunga yang mekar

"i've leave him for the sake of Allah"

Sesungguhnya Allah takkan pernah mensia-siakan pengorbanan ini
Bilamana kita tinggalkan
semua ini kerana Allah semata
Yakinlah! Akan ada sesuatu yang indah untukmu di pengakhiran nanti

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu , lalu (hati) kamu menjadi puas.
[Ad dhuha: 4 & 5]


Untuk itu
Aku tinggalkan dirimu padaNya

Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu.Tidak ada suatu binatang melata melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.
(Allah Maha Adil)
[Hud: 56]




usah bersedih atas perpisahan sementara ini
jika benar aku tercipta untukmu
tiada apa yang dapat menghalangnya
sebelum saat itu tiba
berdoalah pada Allah moga diberi kekuatan
mohonlah padaNya dengan penuh mengharap


Yakinlah pada janji Allah

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (syurga)
[An Nur: 26]

Beruntunglah kamu tatkala Allah memilihmu untuk menyedari hakikat perhubungan antara lelaki dan wanita
Allah memilih kita
Jangan pernah sia-siakan kasih sayang Allah ini

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya
[ As Syams: 8,9,10]

Sesungguhnya
orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu
[Fussilat:30]


Dan tika kamu merasa lemah
Mohonlah kekuatan dariNya
Allah itu dekat
yakin pasti

Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
[Fussilat:36]


Friday, February 19, 2010

Tidak mahu fikir fasal cinta. Adakah patut?

(dipetik daripada http://ms.langitilahi.com/perkongsian-tidak-mahu-fikir-fasal-cinta-adakah-patut/#more-2210 )

Kalau cinta ini satu perjalanan, maka saya katakan bahawa saya telah banyak melalui perjalanan cinta. Saya kecilkan skop – Cinta lelaki perempuan. Dalam setiap perjalanan, saya belajar dan belajar. Silap itu silap ini, dan saya terus mengkaji dan belajar, memerhati dan terus membuat penyelidikan.

Dalam marhalah-marhalah yang saya lalui, satu perkara yang orang selalu sebut: “Jangan banyak fikir fasal cinta. Melalaikan”

Ada lagi orang menyebut begini kepada saya: “Saya masih tidak mahu fikir fasal kahwin ni. Sebab saya tak mahu ganggu pelajaran saya”

Ada pula yang gaya macam best cakap pada saya: “No cinta before nikah. Prinsip saya, cinta selepas kahwin. Cinta sebelum kahwin ni, melalaikan. Dua orang main perasaan, yang ketiganya adalah syaitan”

Benarkah kita patut berkata dan beranggapan sedemikian?

Pada saya, inilah dia fitnah yang telah terpalit pada cinta.

Yang kita dididik bahawa itu adalah namanya bercinta

Tahukah sebenarnya, kita ini telah didoktrin dalam mendefinisikan cinta? Dalam hal bagaimana bercinta? Dalam hal membina keluarga? Dalam hal hubungan lelaki dan perempuan? Bagaimana agaknya definisi kita terhadap perkataan – Bercinta -?

Saya ingin bertanya, di manakah sumber pendidikan cinta masyarakat kita?

Ah, anda tidak perlu jawab. Biar saya jawab.

Majoriti masyarakat mengambil sumber pendidikan cinta daripada Novel, drama, dan filem.

Cara-cara hubungan lelaki dan perempuan di dalam filem, yang banyaknya diterajui oleh Hollywood dan kemudian diikut pula oleh masyarakat kita, dan itulah yang kita namakan bercinta.

Maka, adab-adab yang telah ditunjukkan oleh Syeikh Drama dan Maulana Filem ini, dijadikan fatwa untuk mendefinisikan cinta. Cintan cintun tak jaga syara’ itu dinamakan bercinta. Maka akhirnya, perkataan BERCINTA itu menjadi buruk dan ditohmah 1001 tohmahan yang busuk lagi jijik.

Sebab apa? Sebab manusia tidak tahu apa itu bercinta yang sebenar.

Rujukannya adalah yang ditunjukkan dalam drama-drama dan filem-filem, novel-novel jiwang yang tidak mengikut syara’ itu. Macam manalah perkataan BERCINTA itu tidak dipandang jijik kalau itu yang menjadi rujukan?

Definisi bercinta saya.

Pada saya, seorang lelaki yang berusaha mendapatkan seorang perempuan dengan cara yang syara’ itu adalah satu cara percintaan.

Apa itu cinta pada definisi saya?

Definisi saya pada cinta adalah: “Kita hendak masuk syurga Allah dengan dia”

Justeru, apa-apa sahaja perbuatan yang membawa si lelaki dan si perempuan ke neraka, adalah satu pembatalan pada cinta itu sendiri.

Di sini, saya simpulkan perkataan BERCINTA sebagai: “Lelaki dan perempuan yang berkasih sayang atas jalan yang syar’ie, tidak melanggar hukum Allah SWT”

Maka, berdasarkan definisi itu, bagaimanakah hendak bercinta?

Pertama sekali, anda kena buang apa-apa sahaja didikan cinta dari drama, filem, novel-novel yang anda baca. Jangan sesekali anda sinonimkan perkataan BERCINTA itu dengan tindakan-tindakan mereka. Pada saya, apa-apa sahaja yang membawa kepada kemurkaan Allah dan boleh melemparkan kita ke neraka, tiada cinta di dalamnya.

Kedua, serius. Tak payah lah nak mengorat tak boleh blah. Nak testing-testing sembang ke apa ke. Bila timbul rasa cinta, maka mulakan dengan menyelidiki latar belakangnya. Boleh tanya ramai orang. Kemudian buat istikharah. Seterusnya bila dah yakin, hubungi terus ibu bapa si dia. Kalau takut, boleh juga terus cakap kat dia, hantar surat ke untuk luahkan bahawa kita memang cinta pada dia dan ingin jumpa ibu bapa dia. Bila dia approve, boleh proceed ke langkah seterusnya.(ada juga orang kata, tackle mak ayah dulu adalah cara yang terbaik)

Ketiga, selepas ibu bapa sudah dimaklumi, baru mulakan perhubungan di bawah pengawasan ibu bapa. Baru mula ta’aruf, baru mula sembang, baru mula berjumpa dan semestinya dalam kondisi yang syar’ie dan terjaga pula adab-adabnya. Bukan berdua-duaan(baik di alam realiti atau alam maya), tiada pula sentuh menyentuh. Membina kesefahaman untuk membangunkan satu keluarga yang diredhai Allah SWT.

Keempat: Percepatkan perkahwinan jika berkemampuan. Jika belum berkemampuan, maka seringlah berhubungan dengan penjaga si pasangan untuk mengeratkan hubungan dan menjaga silaturrahim seterusnya membina kesefahaman dalam rangka untuk menjaga diri sendiri dan mengawal hubungan itu agar kekal di dalam batasan syara’.

4 step ini, pada saya sudah boleh dinamakan BERCINTA.

Hendak bergerak lebih jauh dalam BERCINTA, hendak sentuh-sentuh, hendak minum satu straw makan satu pinggan, hendak buat itu ini, ha… kena lepas satu lagi boarder iaitu PERKAHWINAN.

Masalah tak mahu fikir

Ya, pada saya memang tak patut pun seseorang itu berfikir untuk BERCINTA pada usia yang belum matang. Tetapi, pada saya, seseorang itu perlu didedahkan berkenaan konsep membina keluarga yang diredhai Allah SWT semenjak umurnya seawal 13 tahun lagi.

Kenapa perlu membina keluarga yang diredhai Allah SWT, Apa pentingnya membina keluarga yang diredhai Allah SWT, bagaimana persiapan yang sepatutnya untuk membina keluaarga yang diredhai Allah SWT.

Barulah, remaja kita membesar dengan matang, dan terdidik pula untuk nanti dia BERCINTA dengan PERCINTAAN yang sebenar, mengikut syara’ dan diredhai Allah.

Saya tanya satu soalan: “Bagaimana manusia boleh menjadikan filem, drama, novel sebagai sumber kepada pengajaran terhadap cinta?”

Biar saya jawab. Jawapannya adalah: “Sebab mereka tidak diajar bagaimana cara bercinta yang betul”

Jadi, di sini masalah kita.

Tak mahu fikir, sebab kita tidak dididik bahawa berfikir terhadap perkara ini adalah penting. Ada juga tak mahu fikir, sebab telah terdidik supaya jangan memikirkan benda-bena ini.

Saya selalu dengar orang tua-tua cakap: “Ish, kecik-kecik dah gatal”

Ya, saya akui kalau cakap nak bercouple, atau angau dengan seseorang sampai belajar pun entah ke mana, bolehlah kita masukkan ke dalam kata-kata orang tua itu. Tetapi, untuk mereka yang berfikir bagaimana untuk membina keluaarga yang diredhai Allah SWT, mereka ini tidak patut dihalang dan dicop gatal. Malah sepatutnya dibimbing biar lebih teguh.

Kamu boleh suruh anak-anak fikir fasal cita-cita semenjak tadika walaupun medan pekerjaan akan dihadapi oleh mereka masih jauh lagi. Bila disoal, kamu menjawab: “Kita kena sediakan mereka biar tak kena culture shock, biar mereka tahu nak menghala ke mana, biar mereka jelas matlamat dan bla bla bla”

Jadi bagaimana dengan rumah tangga yang Allah redha? Bagaimana dengan cara bercinta dengan Allah redha? Kenapa kamu tak dedahkan pengajaran terhadapnya? Kenapa kamu menghalang diri kamu dan orang lain untuk memikirkannya?

Maka tidak hairanlah, remaja kita hari ini ramai yang salah mengguna pakai perkataan CINTA, BERCINTA, PERCINTAAN. Bila mereka memakai perkataan-perkataan ini, mereka merujuk pada sesuatu perbuatan yang Allah tidak redha dan murka.

Tahukah kalian, Hollywood mendidik kita dengan sifir berikut:

LOVE=SEX. Maka, bila mereka kata To Make Love, maksudnya adalah To Do Sex.

Sekarang lihat.

Kenapa kamu boleh biar barat mendidik masyarakat sambil lewa dan kamu pula meghalang diri dan orang lain berfikir berkenaan perkara paling penting ini? Cinta rosak, sebab kita tidak menjaganya.

Ganggu Pelajaran. Saya nak fokus.

Ini alasan yang pada saya tak boleh dah pakai, apabila kita mendefinisikan semula cinta mengikut apa yang telah saya tulis di atas.

Ya, kalau bercinta yang tidak syar’ie, betul akan membuatkan kita tidak fokus, ganggu pelajaran dan sebagainya.

Saya pernah berjumpa dengan beberepa pelajar yang bercouple. Mereka kelihatan sedih. Saya bertanya, kenapa sedih sampai macam down sangat ni? Pelajaran mereka, studi mereka sampai terganggu. Mereka menjawab:

“Awek saya ada masalah bang”

MasyaAllah, awek ada masalah, diri dia yang down macam dunia nak kiamat?

Tetapi, bukan semua orang bercouple begitu. Ada juga yang jadi cemerlang. Malah menjawab dengan bangga:

“Aku cemerlang sebab aku bercouple. Aku studi dengan awek aku. Boleh lebih fokus”

Jadi, pada saya, BERCINTA itu menganggu pelajaran adalah satu perkara yang patut dibuang jauh. Kenapa? Sebab ada yang BERCINTA dengan cara yang tidak syara’ pun boleh cemerlang. Apatah lagi orang-orang yang bercinta dengan cara yang syara’, dengan lebih terjaga.

Islam melarang kita mendekati zina. Hatta zina hati. Maka, sesiapa yang BERCINTA mengikut definisi syara’, maka di ruang mana pelajarannya akan terganggu?

Alasan tidak bercouple kerana couple itu menganggu pelajaran juga perlu dibuang. Bukan bermakna saya menyokong couple. Saya malah melarangnya langsung kecuali selepas kahwin. Tetapi saya suruh buang adalah kerana, kita tidak bercouple bukan kerana pelajaran. Kita tidak bercouple, hanya kerana Allah larang. Itu sahaja, dan tiada sebab lain.

Kenapa saya cakap begitu? Sebab ada orang buktikan, dengan couple mereka cemerlang. Maka, apakah dengan itu, couple boleh kita benarkan?

Tetap tidak sama sekali. Sebab kita bukan tidak bercouple atas sebab-sebab seperti tidak cemerlang pelajaran, sebab dikhianati, sebab takut dicurangi dan sebagainya. Ada juga yang couple, tapi selamat ke jinjang pelamin. Ha… nak kata apa?

Kita tidak bercouple, hanya kerana Allah suruh. Itu sahaja. Apakah kita memerlukan sebab yang lain? Tidak. Cukuplah keredhaan Allah itu matlamat kita, cukuplah kemurkaan Allah itu menjadi sebab kebencian kita atas sesuatu perkara.

Berbalik kepada isu fokus tadi, adalah tidak patut sebenarnya kita menyalah CINTA kepada ketidak fokusan kita. Siapa yang memilih untuk tidak FOKUS? Kita. Kita yang pilih untuk BERCINTA sampai tidak fokus. Siapa suruh BERCINTA sampai macam itu?

Pada saya, kalau serius nak bina keluarga, kena serius jugalah studi. Apakah boleh jadi ketua keluarga yang baik, ibu yang baik kepada anak-anak kalau markah dapat teruk-teruk, gagal sana sini? Pastinya malu kita hendak mendidik anak-anak kita nanti. Siapa contoh anak-anak? Kitalah sebagai ibu bapa menjadi contoh mereka. Sebab itu, pada saya, kata-kata bahawa pendidikan anak-anak kita bermula semenjak kita remaja adalah tepat sekali.

Maka, ketahuilah bahawa, serius dalam studi itu juga satu PERCINTAAN. Dan saya tidak nampak, kalau bercinta mengikut jalan yang syara’ tetapkan, maka itu akan menjadi penganggu kepada pelajaran.

Tunjukkan saya, di manakah ruang di dalam CINTA CARA SYAR’IE yang membolehkan seseorang itu tidak fokus kepada pelajaranna?

Jadi sekarang bagaimana?

Nak fokus pada pelajaran?

Silakan. Tetapi kenapa melarang diri untuk memikirkan keluarga yang bakal dibina nanti?

Persediaan sudah cukup?

Oh, maka jika begitu, saya tidak layak berbicara dengan anda.

Pencinta sepatutnya berdisiplin

Pada saya, seorang yang dinamakan sedang BERCINTA itu adalah seorang yang berdisiplin. Sekiranya definisi CINTAnya adalah seperti apa yang saya katakan tadi.

Dia perlu serius dalam pelajarannya. Dia perlu belajar untuk matang dalam pemikirannya. Dia perlu belajar untuk jauh pandangannya. Dia perlu belajar untuk kemas dalam perancangannya. Dia perlu mendidik emosinya. Dia perlu belajar untuk bijak membuat keputusan. Dia perlu belajar untuk pandai mengurus kewangan. Dia perlu belajar untuk boleh menjadi contoh terbaik kepada pasangan dan anak-anak.

Ya, kita tidak boleh mencapai tahap kesempurnaan. Tetapi, kita boleh bergerak dan berusaha ke arah kesempurnaan.

Silap ramai orang dalam PERCINTAAN adalah, mereka fikir, semua itu akan selamat apabila tiba pada PERKAHWINAN. Sedangkan, PERKAHWINAN hanyalah gerbang kepada satu dunia baru bernama RUMAH TANGGA. Siapa pernah berfikir, bagaimana dia hendak mengharungi dunia RUMAH TANGGA itu? Dengan lenggang kangkung tanpa ilmu? Atau cukup sekadar tahu ilmu seks sahaja?

Siapa yang belajar, kaji, cari, bagaimana hendak mengharungi dan memandu alam RUMAH TANGGA yang dilaluinya agar mampu meraih redha Allah? Siapa yang berusaha mendidik dirinya agar mampu menjadi qudwah kepada pasangan dan anak-anaknya? Siapa yang tahu bagaimana hendak membesarkan anak dengan cara yang Allah mahu?

Siapa pernah tahu dan ingin ambil tahu?

Ini, sebelum kahwin sibuk cakap fasal PERCINTAAN. memakai pula definisi PERCINTAAN daripada sumber seperti Filem, Drama, Cerekarama dan Novel yang ternyata jauh dari lunas-lunas syar’ie. Apa, nak happy now sad later?

Jika benar hendak membawa pasangan melepasi Syurga Allah SWT, apakah patut melakukan sesuatu yang tidak syara’? Patutkah angau sampai terganggu pelajaran? Patutkah?

Patutkah pula tidak fikirkan langsung? Patutkah menutup terus peluang untuk BERCINTA dengan definisi yang betul?

Sudah ada pengawasan ibu ayah, sudah ada dalam pengawasan syara’, kenapa masih membatu diri? Apakah kita fikir kahwin, bina keluarga itu perkara yang kita boleh main try and error? Silap kemudian cerai dan kahwin lain? Gitu?

Inilah masalah kita. Tidak ada disiplin dalam cinta.

Sebab utamanya apa?

Kita tidak tahu apa itu cinta. Kita tidak dididik bagaimana hendak BERCINTA.

Akhirnya, dengan mudah kita salahkan cinta.

Sebenarnya, yang bersalah adalah kita.

Yang jenis tak jaga terlalu tidak menjaga sampai melanggar batasan syara’. Yang jenis menjaga, jaga sangat sampai tak buat apa yang syara’ benarkan. Akhirnya, yang terlahir adalah keluarga yang rosak. Jika tidak rosak pun, keluarga yang pasif. Mandul. Bukan mandul dari segi tidak mendapat anak, tetapi mandul dalam memberikan manfaat kepada ummah, kepada pembinaan kehidupan Islam dalam masyarakat.

Ya, ramai boleh membina keluarga yang baik, yang dikatakan bahagia walaupun tidak mengamalkan apa yang saya katakan ini.

Tetapi, ketahuilah, apa yang saya katakan ini adalah untuk menghasilkan keluarga yang lebih baik dari baik yang anda sangkakan baik itu, lebih bahagia dari bahagia yang anda katakan bahagia itu. Yang saya katakan ini adalah untuk membina keluarga yang menjadi agen perubahan ummah dan keluarga yang menjadi salah satu dari batu-bata pembinaan masyarakat Islam yang mapan.

Anda tidak mahu?

Terpulang.

Penutup: Cinta yang patut kita cari dan gerakkan

Kita dibesarkan dengan cinta hollywood, cinta para artis, cinta selebriti, cerita dalam filem, cerita dalam drama dan cinta-cinta tidak syar’ie dalam novel. Kita diajar bahawa kalau bercinta mesti mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, minum tak pernah hilang dahaga.

Masalahnya, siapa kata itulah cinta? Siapa kata yang mereka tunjukkan itu CINTA?

Boleh buang dalam tong sampah definisi cinta yang mereka tunjukkan itu.

Saya ulang yang entah buat kesekian kalinya: CINTA itu suci, menyembuhkan dan membina peribadi. Sesiapa yang BERCINTA dengan CINTA yang sebenar, dengan cara PERCINTAAN yang sebenar, maka dia tidak akan rugi, tidak akan pula rosak.

Tidak dinamakan CINTA kalau melemparkan pasangan ke neraka. Tidak dinamakan CINTA kalau buat diri dan pasangan fail periksa. Tidak dinamakan CINTA, kalau buat pasangan dan diri sendiri lupa serta jauh daripada Allah SWT.

CINTA yang saya katakan inilah, yang perlu kita cari, belajar, ajar, dan gerakkan dalam kehidupan.

Bagaimana kamu sekarang?

Tuesday, February 16, 2010

Bicara buat SAHABAT

Bismillahirrahmanirrahim..
Ya Allah,
Ku mulakan coretan ini dgn kalam kesyukuran dan keampunan kami,
Ya Allah,
Terima kasih atas kurniaan sahabat yg byk mengubah diriku

DariMu melaluinya, aku belajar erti kehidupan,
DariMu melaluinya, aku belajar erti kekuatan,
DariMu melaluinya, aku belajar erti keberanian,
Dan banyak lagi melalui hadiah persahabatan ini

Ya Allah, Kau rahmatilah sahabatku..
Dengan gandaan kerahmatan dariMu
Walaupun kini terpisah dek ruang dan masa yg sangat jauh
Aku tetap bersyukur kepadaMu

Kerana melalui pengalaman ini,
Aku belajar berdikari
Berdikari mempraktikkan segala ilmu yang diberi
Berdikari menempuh segalanya tanpa bergantung pada yg lain

Hari ini..
Aku masih mampu untuk tersenyum
Bagi melafazkan kesyukuranku padaMu
Dan terima kasih padanya
Kerana menjadikan aku seorang insan yang lebih matang

Dan..
Aku meletakkan sepenuh harapan padaMu
Untuk Kau pertemukan kami kembali dalam redhaMu
Bagi menyambung persahabatan kami semula
Seperti dahulu dengan izinMu..insya Allah

Biarlah arus masa menghanyutkan kita hingga batasan waktu yg tiada berpenghujung ke saat pertemuan..ameen =)
11 Februari
1.58 pm, Egypt.

Monday, February 15, 2010

kelas bermanfaat =)

Assalamualaikum..

sekadar berkongsi ilmu apa yg diperoleh sepanjang mengikuti dua hari kelas tasawwuf bersama Syeikh Rahimuddin yg merupakan salah seorang ahli sufi berasal Indonesia dan menetap di sini..

ana baru tahu apa itu tasawwuf apabila mengikuti kelas itu,maksud di sini,sebelum ana mengikuti kelas itu,ana tidak tahu langsung apa yg dimaksudkan dgn tasawwuf..alhamdulillah,spanjang 2hari klas itu berlangsung,dptla sedikit memberi kefahaman kpd ana pngenalan tasawwuf..

di sini,an berkongsi secara umum sekadar yg termampu,apa yg an faham ttg ilmu sufi itu..hakikatnya,ilmu ini,ada pada setiap insan yg melakukan segala perintah Allah n meninggalkan laranganNya keranaNya iaitu menghadirkan hati n kekhusyukan kpd Allah sepenuhnya..[pandangan ana]ini kerana ilmu itu merupakan amalan rohani kita yg sememangnya wujud dlm diri sepanjang melaksanakan ibadah cuma kita tak tahu roh yg hadir sepanjang kita melakukan ibadah itu dipanggil tasawwuf dan apa sahaja yg kita lakukan sepanjang kehidupan itu adalah ibadah.

sememangnya benar,tasawwuf bukan merupakan ilmu sebagaimana bidang yg kita belajar hari ini,seperti belajar sesuatu ilmu,seperti syariah,feqah,tauhid,sains,bahasa inggeris,matematik atau apa sahaja ilmu yg menambahkan pengetahuan kita dgn kata lain,belajar yg memerlukan guru utk menambahkan kefahaman..tetapi ilmu ini merupakan hasil tindak balas kerohanian yg hadir ketika melakukan amalan dan ibadah kita pd Allah..ia juga boleh dikatakan sbg pemikiran hati..[hati yg merenung bukan akal yg berfikir]

bukan bermakna menolak utk berguru dlm tasawwuf,tp utk mnytakan bahawa hidayah utk ahli sufi ini bkn blh diperoleh melalui talaqqi n pmbacaan buku2 agama.

Tasawwuf ini terbahagi kpd beberapa bahagian..semestinya ana tidak mampu utk mnghuraikan setiap bahagian2 lebih2 lg,seperti yg ana katakan di atas,ana tulis secara umum tetapi ada satu bahagian yg ana kira mungkin boleh memberi kefahaman dgn lebih mndalam ttg ilmu ini..

Tasawwuf: Ikatan Cara Pelaksanaan Ibadah yg Sempurna

Tasawwuf itu hakikat dan amalan batin.seperti berikut:-

  • Islam = Fiqh = Syariah =`Amal
  • Iman = Tauhid = Aqidah = I`tikad
  • Ihsan = Tasawwuf = Akhlak = Adab

Nampak tak perkaitannya?

sbg contoh,ketika menunaikan solat..solat itu ada dalam kategori syariah dan fiqh utk menghasilkan `amal,tp diperlukan bersama aqidah dan ketauhidan yg mantap membuktikan i`tikad dan diiringi bersama akhlak yg sempurna bersama 'hakikat' tasawwuf bg membuahkan peradaban..

salah satu cara menuju ke arah memiliki ciri2 ahli sufi ini ialah 'mujahadah nafsu'

mujahadah nafsu itu :-

  1. sedikit makannya
  2. sedikit tidurnya
  3. sedikit percakapannya
sedikit makannya itu adalah makan secara berpada-pada..tidak makan makanan yg enak2..bukan langsung tak dibenarkan menjamah makanan enak,maksud tersiratnya ialah supaya dapat menundukkan nafsu makan..jadi biasakanlah diri makan makanan yg biasa2 sahaja.

sedikit tidurnya,juga membawa pengertian yg sama,tidur mengikut kadar yg secukupnya sekadar kemampuan kita..suka utk ana berkongsi tentang bisikan malaikat..apabila kita terjaga dari tidur ketika sebelum subuh,bangunlah..kerana itu tandanya malaikat mngejut kita utk bgn bertahajjud pdNya..mungkin sbb kita ada berniat sebelum tidur ataupun mungkin tidak..tp bangunlah..krn mungkin hari esok,malaikat tidak lagi akan mngejut kita(fikir2kanlah)

sedikit percakapannya,hanya menuturkan sesuatu yg merupakan keperluan dan merupakan ibadah bg dirinya.

konteks kita?

kita..sbg pelajar yg sedang menuntut ilmu dlm bidang masing2..(ilmu yg kita tuntut sekarang ialah fardhu 'ain utk diri kita,wajib utk kita tahu semua perkara dlm bidang yg kita miliki,dan fardhu kifayah utk org lain)tidak salah utk ana katakan,sepatutnya,mjd tuntutan juga kepada kita utk mempunyai ilmu tasawwuf..bukan bermakna ana katakan kita semua wajib jadi ahli sufi..bukan..bukan itu maksud ana..tp,jadikanlah diri kita ke arah memiliki ciri2 tersebut..

Jika anda seorang guru,jadilah guru sufi,nescaya mampu memberikan ilmu pelajaran yg terbaik,bukan sahaja mnjadikan mereka golongan intelektual yg hanya pandai berfikir menggunakan akal malahan merenung segalanya melalui hati dgn mendidik jiwa-jiwa pewaris agama dan bangsa ini

jika anda seorang doktor/dentist,jadilah doktor/dentist sufi..nescaya mampu mengubat pesakit bkn sahaja fizikalnya malah rohaninya.

jika anda seorang aktuari,jadilah aktuari sufi..nescaya urusan perniagaan,
kewangan, ekonomi negara bkn sahaja stabil malahan dapat menghidupkan roh sufi dlm melaksanakan pekerjaan dgn amanah.

jika anda seorang jurutera,jadilah jurutera sufi,nescaya mampu membangunkan bangunan bersama dgn terdirinya kerohanian dlm jiwa,bukan sahaja utk diri malahan juga utk jiwa org lain yg bakal menduduki bangunan tersebut mengecapi ketenangan.

jika anda seorang arkitek,jadilah arkitek sufi..nescaya akan menghasilkan senibina yg dikagumi di mata dunia bukan sahaja ukiran yg berkualiti malahan nilai2 murni dalam bntuk ukiran Islam tidak dilupakan..

jika anda seorang peguam,jadilah peguam sufi..nescaya bukan sahaja menjadi pembela manusia yg hanya petah berbicara malahan menjadi pembela hak dan kebenaran serta keadilan dalam dunia..

dan apa sahaja bidang..

hakikatnya,tasawwuf ini bukan hanya utk ahli sufi malahan utk semua umat manusia yg mengejar kezuhudan hakiki dalam diri..

renungilah..

"sememangnya ilmu itu penting dlm kehidupan manusia..terutama ilmu diperlukan dlm melaksanakan 'amal..ilmu itu penting utk menjadikan kita seorang yg bijak pandai..ilmu jg pnting utk menjdaikan kita seorang berfikir tetapi ingat,tanpa sifat ZUHUD dan ADAB,tiada guna kerana syaitan itu juga pemikir yg bijak tetapi mereka TIADA ADAB"

moga bermanfaat atas perkongsian yg tidak seberapa ini..maaf atas segala kesalahan dan sila tambah dan perbaiki sekiranya terdapat kekurangan dan kesalahan

wassalam

Friday, February 12, 2010

MUHASABAH

Selepas Subuh hari itu, saya memerhatikan beberapa ayat al-Quran. Tadabbur dan tafakkur. Khali seketika. Saya amat tersentak apabila memerhatikan makna yang terkandung dalam surah Iqra’.

“Apa yang Abg Dzul dapat daripada surah itu?” adik usrah saya bertanya.

“Surah ini banyak juga membentak Abu Jahal. Apa yang paling menakutkan ialah apabila Allah membuat satu cabaran terbuka kepada bapa saudara nabi yang kufur itu. “Maka panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu)”. Itu cabaran yang dilemparkan oleh Allah,” jelas saya ringkas.

Namun bukan itu yang menakutkan. Saya diam mengumpul tenaga. terasa sebak melanda hati saya, sekaligus membuatkan jiwa saya terperosok ke lembah kedukaan. Saya dapat merasakan seolah-olah saya benci seketika untuk melakukan maksiat.

Rantai keimanan mengikat saya. “Panggillah orang-orang kamu (untuk membantu kamu). Kami (Allah) pula akan memanggil Zabaniah.”



Itu yang menakutkan. Allah membuat cabaran akan memanggil Zabaniah untuk berhadapan dengan orang-orang yang sombong. Zabaniah sebagai penjaga neraka yang bengis dan tidak pernah tersenyum setelah melihat penciptaan neraka ditugaskan untuk melayan orang-orang yang sombong.

Dalam neraka itu ada buah zaqqum. Buah yang berbau busuk dan loya, lebih meloyakan berbanding najis yang melimpahi mangkuk tandas.

Dalam neraka itu ada hidangan air bernanah. Seolah-olah nanah yang pecah setelah membesar, lalu dihirup dan dijilat dengan lidah. Itu hidangan ahli neraka.

“Adik-adikku, jauhilah kamu dari zina,” saya berpesan kepada adik-adik usrah saya kalangan muslimah. Mereka mendengar dengan tekun. “Sesungguhnya dihikayatkan dalam satu kisah, buah dada penzina perempuan akan digantung dengan tali neraka,” ada kalangan mereka mula menitiskan air mata.

Pernahkah kita membayangkan bahawa mata kita akan dicucuk dengan besi panas? Atau kuku kita dicabut satu-persatu. Atau kulit kita dilapah-lapah? “Maka adik-adik muslimin, jauhilah kamu dari zina. Sukakah jika kemaluan kamu dicucuk dengan jarum?”

Zabaniah tidak berhati perut. Ia tidak mengenal erti belas kasihan. Jika perlu, ia akan menarik lidah kita lalu dikelar dengan pisau tajam. Jika perlu, ia akan menusuk dubur kita dengan kayu berduri. Jika perlu, ia akan menusuk mata kita dengan jarum tajam.

Aduh, neraka itu tempat yang gelap gelita. Penghuninya berbau busuk sekali, loya dan meloyakan. Penuh dengan muntah dan kencing serta najis yang berlimpahan. Penuh dengan suasana yang trauma dan menakutkan.

Saya ingin melemparkan satu amaran kepada diri saya yang melakukan maksiat.

Sungguh, orang yang mengerti tentang Islam, namun jika ia keluar berdua-duaan dengan yang bukan muhrim atau kekasihnya, maka saya ingin bertanya. “Sanggupkah kamu melihat buah dada kekasih kamu digantung dengan tali neraka?”

“Atau sanggupkah kamu melihat kemaluan kekasih kamu dimasukkan jarum”.

Menangislah, Zabaniah tidak akan peduli.

Sentuhlah babi yang penuh dengan lumpur. Sesungguhnya nabi saw bersabda, menyentuh babi yang penuh lumpur lebih mulia daripada menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrim.

Jika kamu ingin melihat salah seorang bakal penghuni neraka, lihatlah kepada orang yang selalu melayan nafsu kamu, keluar berdua-duaan dengan kamu, rela tangannya dipimpin kamu, rela badannya diusap-usap oleh kamu, rela menghabiskan masa dengan kamu, rela bibir dan pipinya dicium kamu, rela menunggang motor bersama kamu, lalu ia memeluk kamu dengan penuh erat. Itulah calon neraka.

“Ustaz, bagaimana ingin menimbulkan rasa benci kepada sikap itu? Suka keluar bersama pasangan, di waktu siang mahupun malam, bersama di atas motor dan kereta.”

Saya menjawab, “Bayangkan jika ibu kamu yang keluar bersama lelaki lain. Apakah kamu akan membenci ibu kamu?”

Ah, Zabaniah tidak peduli dengan raungan dan rintihan orang yang merayu. Zabaniah hanya mengenal erti ‘penyeksaan’.

“Anakku,” guru memangil saya satu ketika. Saya sedikit mendekatkan telinga saya ke bibirnya. “Janganlah kamu hanya menangisi dosa-dosa yang kamu lakukan. Tetapi fikirkanlah juga bagaimana cara menimbulkan benci kepada dosa. Orang yang hanya menangisi kesilapan akan mengulanginya semula. Orang yang menanam rasa benci tidak akan kembali,” saya mengangguk.

“Anakku,” guru masih ingin memberikan nasihat. “Pernahkah kamu merasa air kencing kamu?” saya terus menggeleng. Terasa geli menguasai diri. “Jika kamu ingin merasa air kencing kamu, lakukanlah maksiat. Kelak Zabaniah akan menghidangkan air kencing sebagai hidangan minuman kamu.”

“Anakku,” saya sudah tidak mampu menahan sebak. Sedih. Galau. Takut. Gerun. Semua bercampur-campur dalam hati yang satu. Kamu tahukah apa ibarat neraka itu?” saya menjawab tidak, dalam sebak.

“Umpama tangki tahi. Itulah ibarat neraka,”

« Anakku, jika kamu ingin selamat di akhirat, aku ingin memberikan satu petua. Jika kamu berjaya mengikut petua aku ini, engkau akan selamat, »

« Kamu perlekehkan nafsu kamu. Hina ia. Kamu perlekehkan kehendak dunia kamu. Hinakan ia. Namun ingatlah satu perkara. Semakin kamu memperlekehkan nafsu kamu, maka semakin kuat ia mengejar kamu,” pesan guru dan tiba-tiba kemudiannya guru ghaib.

Zabaniah tidak kenal erti kasih.

Saya berbisik dalam hati, “Tuhan, jauhkanlah Zabaniah daripada hamba-Mu yang penuh dengan maksiat ini,” lalu saya tersungkur di mihrab kerinduan.

Ehsan: http://dzulkhairi.blogspot.com/2009/10/cerpen-muhasabah-iii.html

Memboikot barangan Israel dan Amerika menurut Islam

[dipetik daripada http://akhisalman.blogspot.com/2010/01/memboikot-barangan-israel-dan-amerika.html]

1.MUKADDIMAH

Saya ada menerima foward mesej yang menunjukkan kepada artikel tentang face book. Saya tidak mahu membincangkan adakah ia adakah face book itu yahudi atau pun bukan dan apakah hukum menggunakan face book. Namun mata saya terpaku pada kenyataan dalam artikel tersebut yang berbunyi:

"Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM."

Saya agak terkejut dengan kenyataan dari pendakwah terkemuka di malaysia ini. Ini kerana kenyataan ini telah bertentangan dengan ulama-ulama di seluruh dunia. Oleh itu disini saya ingin mengemukakan pandangan ulama terhadap boikot barangan Amerika dan Israel.

2. BOIKOT ADALAH SENJATA DI ZAMAN NABI


Kita lihat bagaimana kisah Thumamah bin athal ra ثمامة بن أثال yang baru masuk Islam telah memboikot orang-orang musyrikin di mekah. Setelah masuk Islam , beliau berkata:

والله لا يأتيكم من اليمامة حبة حنطة حتى يأذن فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم

"Demi Allah tidak akan datang kepada kamu (kaum Quraisy) sebiji gandum pun dari Yamamah sehingga Rasulullah saw izinkan."

Hadis SAHIH Bukhari Muslim.

Sepertimana diketahui beliau adalah penghulu Yamamah.

Dalam hadis lain menyebut:

فانصرف إلى بلده ومنع الحمل إلى مكة حتى جهدت قريش فكتبوا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يسألونه بأرحامهم أن يكتب إلى ثمامة أن يخلي إليهم حمل الطعام ففعل رسول الله صلى الله عليه وسلم

" Lalu Thumamah pun pulang ke kampungnya dan menegah untuk dibawa barang dagangan ke Mekkah sehinggalah orang Quraisy kemelaratan . Lalu orang-orang Quraisy menulis kepada Rasulullah saw meminta dengan berkat hubungan persaudaraan supaya thumamah membiarkan barang makanan sampai kepada mereka. Rasulullah saw memperkenankan permintaan mereka."

hadis HASAN riwayat Imam Baihaqi dan Ahmad.

INI ADALAH DALIL YANG KUKUH TERHADAP PENSYARIATAN BOIKOT TERHADAP MUSUH-MUSUH ISLAM. KALAULAH ORANG MUSYRIKIN MASIH MENINDAS NABI DAN PARA SAHABAT KETIKA ITU MESTILAH NABI SAW AKAN MENERUSKAN PEMBOIKOTAN ITU.

3. MELEMAHKAN EKONOMI MUSUH ISLAM ADALAH SUNNAH NABI

Cara melemahkan ekonomi musuh yang dilakukan pada zaman Nabi saw ada dua cara.

Cara pertama:

Dengan menghantar pasukan tentera untuk peperangan badar bagi menghalang rombongan perniagaan mereka. Begitu mengambil harta orang kafir (ghanimah) setiap kali lepas perang juga adalah bertujuan melemahkan ekonomi mereka. Nabi saw dan para sahabat juga telah memusnahkan tanaman orang yahudi Bani Nadhir sedangkan asalanya Nabi saw menegah untuk dimusnahkan tanaman orang kafir. Ini semua adalah untuk melemahkan ekonomi mereka.

Cara kedua: Dengan DOa

Nabi saw telah mendoakan kepada orang-orang Quraisy:

اَلَّلهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَيْهِمْ بِسَبْعِ كَسَبْعِ يُوْسُفَ

"Ya Allah bantulah aku untuk memusnahkan mereka dengan engkau menjadikan mereka فtujuh tahun mereka seperti mana tujuh tahun yang menimpa Nabi Yusuf (tujuh tahun kemarau)."

Maka mereka ditimpa dengan kemarau sehinggalah ada yang makan bangkai. Lalu Abu Sufyan berkata kepada Nabi saw: "Hai Nabi, sesungguhnya Kaum mu telah binasa. Doalah supaya Allah menghilangkan kemarau ini."

Hadis SAHIH riwayat Bukhari dan Muslim.

4. MEMANGLAH ASAL BERMUAMALAH DENGAN MERKA ITU HALAL TAPI IA BERUBAH DENGAN KEADAAN

Pihak yang tidak mahu memboikot menyatakan bahawa tidak perlu boikot kerana Nabi saw juga bermuamalah dengan orang yahudi. Ini memang jelas bahawa kita boleh berusan dengan orang kafir tidak kira apa agama sekalipun. Hubungan kita dengan mereka adalah hubungan kemanusian. Ini jelas melalui Firman Allah swt:

"ALlah tidak melarangkamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap org2 kafir yang tidak memerangimu kerana agamamu dan tidak mengusirmu dr kampung halamanmu.ssghnya ALLAH mencintai org2 yg berlaku adil." (8 : al-Mumtahanah)

Namun dalam ayat seterusnya menjelaskan kita dilarang untuk berbaik dengan orang yang memerangi dan mengusir umat Islam. Firman Allah swt:

"ssghnya Allah hanya melarangkamu menjdkan org2 yg memerangi mu kerana agama mu dan mengusir mu dr kampung halamanmu dan membantu utk mengusir mu sebagai kawanmu (dengan membantu mereka).barangsiapa yg menjdkan mereka sbg kawan ,mereka itulah org yg zalim." (9: al-Mumtahanah)

Penindasan dan kezaliman Israel dan Amerika terhadap umat Islam adalah perkara yang amat jelas. Oleh itu kita jangan bermudah-mudah untuk keluarkan hukum. Setiap keadaan dan masa itu mempunyai hukum yang tersendiri. Kita hendaklah menyerahkannya pada Ulama.

5. PANDANGAN ULAMA TERHADAP BOIKOT

Para ulama seluruh dunia menyatakan kewajipan boikot baragan Yahudi dan Israel. Diantaranya ialah Bekas mufti Mesir Dr Nasr Farid al-Wasil, Ulama saudi albani dan syeikh Abdullah Jibrin, ulama Lubanan Syeikh Faisal Maului, Ulama-ulama India dan yang paling tegas ialah ulama haraki DR YUSUF QARDAWI.

Dr Yusuf Qardawi berkata:

"Diantara cara membantu umat Islam di Palestin adalah dengan memboikot barangan musuh dengan sempurna (bukan pilih2). Setiap ringgit dan sen yang kita gunakan untuk membeli barangan mereka adalah dianggap peluru yang menembusi dada2 saudara2 dan anak2 kita di palestin.

Oleh kerana yang demikian wajib atas kita untuk tidak membantu musuh-musuh yang menindas Umat Islam dengan membeli barangam mereka. Ini kerana ia termasuk dalam perkara membantu diatas perkara permusuhan dan dosa.

Barang-barang buatan Amerika seumpama barang-barang Israel dari segi wajib diboikot. Pada hari ini Amerika adalah Israel yang kedua."

5. KESIMPULAN

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kebaranian seorang Doktor dari Jordan yang telah meletupkan dirinya di Afghanistan yang membunuh tujuh pegawai perisikan Amerika CIA. Umurnya masih muda (30an) dan mempunyai isteri yang cantik (orang turki). Doktor ini sanggup mengorbankan jiwanya demi Islam tetapi mengapa kita tidak mampu walau hanya dengan memboikot barangan musuh Islam kerana tuntutan Nafsu. Firman Allah swt:

"Maka kamu akan lihat orang-orang yang berpenyakit nifak dalam hati mereka segera menjadikan orang-orang yahudi dan nasrani sebagai teman dan membantu mereka, mereka berkata sebagai alasan "Kami takut akan ditimpa bencana atau mereka mengalahkan orang-orang Islam." Maka pastilah Allah akan memberi kemenangan kepada umat Islam atau Allah akan memusnahkan orang-orang yahudi dan nasrani yang menyebabkan orang-orang munafik itu menyesal terhadap apa yang mereka lakukan (menolong yahudi dan nasrani)." (52 : al-Maidah)

JADI JELAS DARI AYAT INI MEMBANTU YAHUDI DAN NASRANI YANG MEMUSUHI DAN MENINDAS UMAT ISLAM ADALAH PERBUATAN ORANG-ORANG MUNAFIK.

Rujukan: al-Quran , al-Muqataah as-Syariyyah wa Dawabitul Mumarasah oleh Dr Khalid Abdul Qadir dan Fatawa min Ajli Palastin oleh Dr Yusuf Qardawi.