(dipetik dari http://ms.langitilahi.com/motivasi-jangan-salahkan-tuhan/)
“Nak buat macam mana, dah takdir”
“Allah dah susun macam ni. Aku boleh buat apa lagi”
“Memang aku ni takdirnya jahat. Dah tak boleh ubah dah”
“Aku ni memang nasibnya bodoh. Belajar la macam mana pun, tak boleh”
Biasa mendengar kata-kata ini? Baik keluar daripada orang lain, mahupun daripada diri kita sendiri.
Kesilapan kita, adalah kita menyalahkan Allah SWT dalam hal ini. Kita kata, Allah dah takdirkan kita jadi jahat, bodoh, tak boleh berubah dan sebagainya. Sedangkan, kita tidak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita.
Jadi, jangan salahkan Allah SWT.
Lihatlah pada diri kita sendiri.
Siapa yang pada tempat pertama, memilih untuk terus menjahatkan/membodohkan/tidak mahu buat perubahan pada dirinya?
Allah itu kasih sayang-Nya luas
Allah SWT mempunyai ilmu yang sangat-sangat luas. Kasih sayang-Nya juga sangat-sangat-sangat luas.
Antara kasih sayang-Nya adalah, Allah tidak menjelaskan ilmu-Nya yang luas itu kepada manusia.
Saya bagi contoh, ilmu Allah SWT berkenaan perkara-perkara masa hadapan.
Allah tidak memberitahu kita. Allah tidak menceritakan kepada kita. Hal ini kerana, jika kita sudah tahu apa yang akan terjadi, maka terputuslah segala harapan kehidupan manusia. Manusia yang kehilangan ikhtiar, sama seperti mayat yang berjalan.
Hal ini kerana, dia tidak punya ruang untuk berusaha.
Tetapi Allah tidak memberitahu kita masa hadapan kita, apakah yang bakal terjadi pada kita, lantas mewujudkan kepada kita satu kuasa bernama IKHTIAR/PILIHAN.
Di sini, nyalaan harapan muncul pada manusia yang lemah.
Tanda kasih sayang Allah SWT yang sangat luas.
Allah suruh pilih, Allah suruh usaha
Dengan ikhtiar yang Allah kurniakan kepada manusia, maka manusia berhak memilih. Tiada paksaan. Cuma, di sini perlu diketahui bahawa, setiap pilihan mempunyai konsikuensi/kesannya.
Allah SWT berfirman:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.
Siapa yang memilih kebaikan, Allah akan berikan pengakhiran kebaikan untuknya. Siapa yang memilih kejahatan, hasilnya di akhir nanti adalah keburukan. Itu keadilan Allah SWT. Walaupun mengambil jalan kebaikan menyebabkan kita susah di dunia, Allah Maha Adil dengan memberikan kita kesenangan di syurga yang amat hebat, dan abadi selama-lamanya dalam kesenangan itu.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Surah Ar-Ra’d ayat 11.
Allah mengarahkan kita berusaha di dalam ayat ini. Ini juga namanya adalah pemberian peluang oleh Allah SWT.
Maka, apakah kita boleh menyalahkan Allah, sedangkan kita yang tidak mengambil peluang?
Tuduhan pada Allah itu satu jenayah.
Di zaman Saidina Umar, ada seorang pencuri ditangkap. Apabila ditanya kenapa dia mencuri, dia menjawab: “Sesungguhnya, Allah telah mentaqdirkan aku untuk mencuri”
Saidina Umar berkata: “Potong tangannya, dan sebat dia 40 sebatan”
Saidina Ali yang ada ketika itu terkejut: “Wahai Umar, hudud untuk pencuri memotong tangan. Justeru, apa perlunya pada 40 sebatan?”
“Itu adalah ta’zir(hukuman dari pemerintah) kerana dia menuduh Allah SWT sesuatu yang tidak patut dituduhnya” Umar RA menjawab.
Ini menunjukkan bahawa, tuduhan bahawa Allah telah mentaqdirkan kita keburukan-keburkan, adalah satu jenayah. Kita meletakkan kepada Allah kesalahan-kesalahan kita. Sedangkan, pada asalnya, kita tidak akan tahu sesuatu perkara melainkan setelah terjadinya ia. Maka, pada ketika itu kita sepatutnya memilih untuk ke arah kebaikan, bukan mengambil keburukan.
Silap pada tempat pertama, adalah kita.
Kita yang memilih keburukan. Maka, di mana salahnya Tuhan?
Dah usaha, dapat keburukan juga
Ada banyak kes, manusia cuba menjadi baik, jadi pandai, jadi berjaya, tapi tak mampu juga. Dia dah usaha banyak kali, tetapi asyik gagal sahaja untuk mencapai kebaikan.
Akhirnya dia kecewa. Putus asa. Dan berkata: “Allah dah takdirkan aku macam ini nampaknya”
Kesilapan orang sebegini adalah, dia tidak melihat keluasan kasih sayang Allah padanya.
Apakah dia tidak melihat, bahawa umur masih ada padanya, masa masih bergerak di sekelilingnya, usianya masih diterus sambung? Jadi, di mana peluang untuk berputus asa? Putus asa ini hanya bila mati sahaja. Sebelum mati, kita punya banyak peluang dan ruang untuk berusaha. Tidakkah kita melihat kasih sayang Allah pada ketika ini?
Kesukaran kita mendapat kebaikan adalah satu ujian. Ia bukan satu alasan untuk mengambil keburukan dan redha dengan kerosakan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mulk ayat 2:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup bagi menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang terbaik amalannya; dan Dia itu Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”
Ujian perlu ditempuh dengan kecekalan. Bukan berputus asa.
Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” Surah Yusuf ayat 87.
Hanya yang tidak percaya kepada Allah sahaja akan berputus asa.
Lihat. Pilihan di tangan anda. Kenapa anda memilih untuk tidak berusaha sampai ke akhirnya?
Penutup: Allah Maha Penyayang, kenapa kita mengkhianati-Nya?
Kita banyak songeh dengan menyalahkan Allah SWT itu dan ini. Sedangkan, Allah tumpahkan kepada kita banyak kebaikan. Keburukan-keburukan yang berlaku dalam hidup kita, majoritinya adalah kerana diri kita sendiri.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah As-Syuura ayat 30.
Kita lupa, bahawa Allah tidak pernah membutuhkan kita. Kita yang memerlukan-Nya.
“Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Toha ayat 132.
Maka, apakah patut kita mengkhianati kasih-sayang-Nya yang luas itu dengan memilih keburukan, memilih untuk berputus asa, dan tidak bergerak untuk berusaha sehingga ke akhirnya?
Ketahuilah, walau usaha kita itu tidak berhasil, tetap ada pahala pada usaha itu.
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” Surah Al-Zalzalah ayat 7.
Besarnya kasih sayang Allah. Kita yang mengkhianati-Nya.
-Hilal Asyraf-
0 comments:
Post a Comment