Friday, January 22, 2010

PEDOMAN MENGHADAPI PELBAGAI MASALAH

[dipetik drp bicaramuslim.com]

Sebagai seorang Islam dan beriman kepada Allah akan menerima semua yang tidak disukai oleh diri sebagai ujian tuhan.Namun sejauh mana kita faham dan melihat ujian-ujian itu dari kehendak tuhan.Bagaimana kita dapat bersikap baik sangka kepada tuhan yang mendatangkan ujian dan kita benar-benar redha apa yang terjadi.

Mampukah kita tersenyum dan tanpa rungutan,sejauh mana kita dapat bersabar sehingga masaalah itu diganti dengan keamanan,kebahagian dan kembali diri dalam keadaan sukacita serta gembira.

Kita tahu akan makna “Dari tuhan ia datang,kepadanya jua ia kembali”dan kita tahu makna kalam “Tiada daya upaya melainkan izin Allah”.dan erti berserah diri,redha,sabar serta berusaha.Bagaimana kita mempraktik ajaran-ajaran tuhan ini dalam menghadapi apa ju masaalah.

Amalan ini hanya mampu dilakukan kepada mereka yang yakin dengan janji Allah. Banyak janji-janji Allah dinyatakan kepada mereka yang sanggup sabar,baik sangka,redha,pasrah dan tidak putus asa dalam berharap pertolongan Allah.

Sememangnya masaalah itu terjadi dengan asbab.Asbab diri sendiri atau pun kerana orang lain.Kedua-duanya tidak perlu dipertikaikan dan dipersoalkan.Tidak ada kata-kata hairan kenapa dan mengapa dan apakah serta bila.

Kita jangan merasakan bilamana amalan kita telah baik dan berusaha mendekati tuhan,maka terkecualilah kita dari ujian-ujian.Sesungguhnya ujian-ujian itu adalah tangga kepada kita untuk naik kehadratnya.Semakin banyak ujian yang berjaya ditempuhi dengan sifat-sifat terpuji maka semakin hampir kita kepadaNya.

Sehinggalah kita tidak memilih tentang apa ujian yang datang semuanya adalah sama. Kerana setiap ujian itu telah Allah pilih mengikut kemampuan penanggungnya.Sedangkan manusia telah merasakan sangat berat dan menderita.

Umpama pepatah mengatakan langit tidak terlalu cerah, begitulah juga dengan untung nasib dan ketentuan manusia. Justeru, dalam meniti perjalanan hidup, pasti ada pada satu masa seseorang melalui titi kesengsaraan dan kekecewaan.

Bahagia dan ketenangan hati yang dikecap sekian lama umpama lenyap begitu saja.Tiada siapa yang menyangka, dengan sekelip mata kita mungkin kehilangan orang yang dikasihi – ibu bapa atau isteri tersayang meninggal dunia akibat kemalangan misalnya. Kisah lain mungkin kita dibuang kerja atau perniagaan yang diharap menampung kehidupan keluarga akhirnya muflis.

Contoh yang lebih menakutkan mungkin seperti ini; kita memandu kereta untuk ke tempat kerja dan tanpa sengaja melanggar seorang pejalan kaki sehingga maut dan episod akhirnya dipenjara beberapa tahun.

Kebanyakan kita mungkin berasa kecewa, sedih dan tertekan pada permulaannya, fikiran buntu mengenangkan kehidupan diri dan keluarga selepas itu.

Lebih ditakuti apabila kita akhirnya menyalahkan takdir, malah sudah ada cerita dan kes di negara ini atau di negara lain, si polan itu membunuh diri atau melakukan perkara yang tidak waras akibat tekanan hidup.

Menyoroti ayat ke-286, Surah al-Baqarah, Allah berfirman, bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Akan tetapi ramai sekali yang begitu mudah berputus asa daripada memikirkan cara menangani masalah dan ujian itu. Walaupun masalah itu tidak dapat diatasi, mereka harus menerimanya dengan reda dan yakin pasti ada hikmah tersembunyi di sebalik peristiwa pahit itu.

Mungkin hikmah itu terselindung di sebalik material duniawi tapi tidak di sisi Allah swt itu sendiri kerana manusia beruntung adalah yang mendapat keredaan-Nya. Lalu jika kita menjadikan akhirat dan keredaan Allah itu sebagai matlamat, maka segala ujian yang bersifat keduniaan itu dianggap remeh saja.

Allah adalah pencipta manusia, maka Dia mengetahui bahawa pasti ada hamba-Nya yang akan bersedih akibat mengalami 'zaman kejatuhan'. Malah, Rasulullah saw sendiri pernah bersedih antaranya apabila baginda diusir dan dikasari penduduk Taif sehingga kepalanya berdarah, ketika cuba berdakwah selepas kematian isteri baginda, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

Lalu jika diteliti, banyak sekali nas yang membicarakan pelbagai aspek perasaan itu dalam al-Quran. Antaranya dua ayat yang diulang iaitu:

"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan," – (Alam Nasyrah: 5-6).

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukashafah al-Qulb menerangkan bahawa barang siapa ingin selamat daripada azab Allah, mendapat pahala dan rahmat-Nya serta masuk syurga, hendaklah dia menahan nafsu terhadap keinginan dunia selain sabar menghadapi kesulitan dan musibahnya.

Tatkala kita bersedih menghadapi kesulitan, pasrah dan sabar dengan ujian-Nya, Rasulullah saw membawakan khabar gembira seperti sabda baginda:

"Barang siapa sakit semalaman, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih dosanya bagaikan ketika dia lahir daripada perut ibunya. Jika engkau sakit, janganlah segera meminta sembuh."

Sebagai insan yang mengaku bahawa Allah itu tuhan dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, yakinlah kita bahawa segala kesulitan yang dihadapi dengan sabar tidak membawa sebarang kerugian melainkan peluang untuk mendekatkan diri dengan pintu syurga.

Sedarlah, kita mungkin ditimpa kesulitan, tapi bersyukurlah kerana kita masih hidup dan memiliki kudrat untuk merubah kesulitan itu malah masih ada orang lain yang lebih berat tekanan dan dugaannya berbanding kita.

Adakah kesulitan kita itu lebih pedih daripada kesulitan ditanggung nabi dan wali Allah? Adakah sakit kita itu lebih teruk daripada penyakit Nabi Ayub?

Adakah susah kita itu lebih teruk daripada cabaran dihadapi Rasulullah saw?

Benar, mereka itu kekasih Allah, tapi yakinlah di sebalik kesusahan yang kita hadapi, pasti ada insan lain yang lebih sukar kehidupannya. Ketika sedih, fikirlah mengenai kebahagiaan yang sudah lama kita peroleh, tapi kesenangan itu mungkin membuatkan kita terlalai.

Lalu Dr 'Aidh 'Abdullah al-Qarni menukilkan menerusi kitabnya La Tahzan bahawa: "Kesulitan itu sebenarnya akan menguatkan hati, menghapuskan dosa, menghancurkan ujub, menguburkan sombong, meluruhkan kelalaian, menyalakan lantera zikir, menarik empati sesama, menjadi doa yang dipanjatkan orang soleh, mewujudkan ketundukan dan penyerahan kepada Yang Maha Esa, sebagai sebuah peringatan diri, sebuah upaya menghidupkan zikir, sebuah upaya menjaga hati dengan sabar, sebuah persiapan mengadap Tuhan dan sebuah celaan untuk tidak cenderung kepada dunia, merasa aman dan tenang dengannya."

Maka adulah segala kegelisahan, kesulitan dan kesedihan yang tidak terzahir kepada Allah swt. Mohonlah dengan penuh tawaduk dan berharap kepada-Nya di samping berusaha mengubah keadaan, nescaya akan Dia perkenankan, kerana itulah janji-Nya menerusi Surah al-Mukminun, ayat ke 60:
"Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu."

mari kita sama-sama renungi hadis berikut:-

"Sungguh menakjubkan perilaku orang mukmin. Semua keadaan adalah baik baginya. Jika beroleh kesenangan dia bersyukur, yang demikian itu adalah baik baginya; dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, dan yang demikian itu adalah baik baginya. Perilaku seperti itu hanya ada pada diri seorang mukmin." (HR Muslim dan Ahmad)

"...sesungguhnya yang paling mulia (di antara) kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa (di antara) kamu..." [TMQ Al-Hujurat:13]

Wallahuta'ala a'lam bissawab
Wassalamu'alaikum wrt wbt

0 comments: