KENAPA TIDAK MAHU BERTAUBAT?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Pepatah Melayu ada menyatakan: "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi."
Acapkali di dalam hidup seseorang insan dia akan merasa penyesalan setelah segala-galanya terlambat dan tidak mampu dirubah lagi. Namun begitu apa yang sepatutnya kita fikirkan secara mendalam adalah penyesalan di hari penghitungan ketika berada di Padang Mahsyar di mana segala amalan kita semasa kita hidup di dunia akan dihisab dan kemudian ditentukan
sama ada kita akan ke syurga mahupun neraka.
Ya, apabila ditunjukkan kepada seseorang hamba Allah segala keburukan ketika di dunia dahlu, maka akan timbul penyesalan kerana takutkan balasan yang pedih di neraka, maka terdetik di hatinya agar dilewatkan ajalnya ataupun dia dihidupkan semula ke dunia supaya dapat dia bertaubat atas segala kesilapannya dahulu.
Namun sayang seribu kali sayang, penyesalannya itu hanya sia-sia kerana ketika di Padang Mahsyar pintu taubat telah tertutup rapat. Maka akan timbul dibenak fikirannya alangkah baik sekiranya aku di dunia dahulu tidak melakukan segala dosa-dosa tersebut. Hmm alahai, apakan daya… tak ada apa lagi yang mampu hendak dilakukan melainkan menanti sahaja hukuman serta azab Allah S.W.T. atas kesilapannya yang lalu. Senario sedemikian rupa telah dirakamkan di dalam al-Qur'an melalui firman-Nya:
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "
Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan- Nya mengenai segala yang kamu kerjakan. –
al-Munaafiquun (6) : 11
Seorang manusia yang banyak melakukan dosa ketika menghadapi Malakul Maut pasti akan meminta untuk dilewatkan ajalnya walaupun hanya seketika demi untuk bertaubat kepada ALLAH S.W.T. dan mengerjakan amal-amal soleh. Namun begitu permintaan tersebut pasti akan ditempelak oleh Malakul Maut kerana waktu datangnya ajal itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. tanpa awal mahupun lewat walaupun sesaat. Seorang ulamak tafsir ketika mengulas firman ALLAH S.W.T. di atas telah berkata:
Manusia yang lalai itu apabila sudah tiba saat kematian nnya lalu berkata kepada Malakul Maut: Hai Malakul Maut, sudilah kiranya tuan lewatkan kematianku ini sebentar sahaja, sehari pun jadilah, agar saya berkesempatan untuk bertaubat kepada ALLAH pada hari itu serta beramal soleh untuk kematianku ini.
Jawab Malakul Maut: Itu tidak mungkin terjadi, sebab hari-hari yang lalu sudah kau buang sia-sia sahaja. Jadi tidak boleh ditambah sekalipun hanya sehari.
Katanya pula: Jika demikian sesaat sahaja pun cukuplah.
Jawab Malakul Maut: Dahulu sudah berjuta-juta saat yang kau sia-siakan. Jadi sesaat pun tidak dapat dipenuhi permohonan itu.
Setelah itu, lalu ditutup pintu taubat untuknya. Kemudan nafasnya tercungap-cungap beberapa kali sehingga akhirnya hilanglah nafasnya dan meninggal dunia dalam keadaan penyesalan.
– Dinukil dari kitab
Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin – Ringkasan
Dari Ihya' 'Ulumuddin oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin
al-Qasimi al-Dimasyqi (tajuk asalnya adalah Mau'izah
al-Mukminin min Ihya' 'Uluum al-Deen), Victory
Agencie, Kuala Lumpur , 2005, jilid 2, ms. 415.
Apatah lagi sekiranya orang yang ingkar kepada perintah Allah tersebut ketika hidupnya begitu sombong terhadap peringatan yang diberikan kepadanya. Kononnya kehidupan yang dilalui dengan berpakaian mendedah aurat, berpacaran bersama pasangan yang bukan muhrim, minum arak, seks bebas, menjadi pengunjung tetap di kelab-kelab malam dan lain-lain lagi merupakan kehidupan yang sesuai pada zaman serba moden. Golongan yang cuba membawanya ke arah kebenaran ditempelak sebagai golongan yang jumud lagi ketinggalan zaman dan mengganggu hak asasinya untuk hidup sebagaimana yang dirasakan sesuai dengan dirinya. Pasti penyesalannya ketika di hari penghitungan akan lebih mencengkam jiwanya. Pasti terdetik di benak hatinya alangkah baik sekiranya aku dahulu menuruti nasihat mereka yang ingin mengembalikan aku ke jalan yang lurus serta diredhai Allah S.W.T.. Tentu juga terdetik di dalam hatinya alangkah baik sekiranya aku diberi kesempatan untuk kembali ke dunia agar aku boleh menjadi insan yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
Hmm alahai segala-galanya sudah terlewat. Kesempatan yang Allah S.W.T telah berikan kepada kamu telah dipersiakan dan kini kamu sudah tidak memilki jalan untuk berpatah ke belakang melainkan meletakkan untuk nasib kamu di atas kehendak Allah S.W.T.. Senario sebegini juga telah digambarkan oleh Allah S.W.T. melalui firman-NYA:
"Atau berkata semasa dia melihat azab: "Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!" (Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firman-Nya): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjuk-Ku (melalui Rasul-Ku), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!" Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur? – al-Zumar (39) : 58-60
Namun begitu berita baik bagi mereka yang sedang menatap risalah ini; KAMU MASIH HIDUP…. Pintu taubat sedang dibuka seluas-luasnya untuk kamu. Ini bermakna kita semua berpeluang untuk mengelak penyesalan yang begitu mengerikan seperti yang tergambar di dalam kedua-dua ayat al-Qur'an di atas. TAHNIAH… oleh itu ayuh kita bertaubat atas segala kesalahan kita yang lalu. Namun begitu apa makna taubat dan adakah taubat bagi mereka yang telah terlalu jauh tererangkap di alam maksiat dan kesesatan itu masih diterima oleh Allah S.W.T.? Insya-Allah melalui risalah yan ringkas ini penulis akan cuba untuk menjawab persoalan tersebut.
APA ITU TAUBAT?
============ ===
Taubat dari segi bahasa ertinya kembali. Menurut istilah maksudnya kembali kepada jalan yang benar dari jalan yang sesat. Ianya bukan sekadar permohonan maaf tetapi ianya disertai penyesalan terhadap sesuatu kesalahan lalu berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Taubat yang diterima oleh Allah S.W.T hanyalah taubat seorang Muslim. Adapun taubat bagi orang kafir hanyalah dengan baginya meninggalkan agama asalnya lalu memeluk Islam. Firman Allah S.W.T.:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga
halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. – al-Nisaa' (4) :18
Taubat itu memilki tiga komponen yang penting iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan.
Ilmu merupakan pengetahuan terhadap perkara-perkara yang distilahkan sebagai maksiat serta menyedari akan bahayanya kesesatan tersebut terhadap diri seseorang. Keinginan untuk bertaubat hanya akan terdetik apabila timbul kesedaran bahawa perilakunya tersebut adalah salah, boleh menghancurkan hidupnya, meragut kebahagiaan di akhirat kelak, membunuh jiwanya serta menjadi punca renggangnya hubungan di antara Allah S.W.T. dengan hambanya sehingga menyebabkan seseorang itu terhalang dari mencapai rahmat-Nya di dunia mahupun di akhirat. Hal ini akan menjadi lebih mudah sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang benar bersumber dari al-Qur'an dan al-Sunnah dan tentu sekali golongan yang paling mudah bertaubat adalah mereka yang berilmu terutamanya dari kalangan para ulamak.
Setelah kita menyedari akan kesalahan yang kita lakukan itu sebagai perbuatan yang menyanggahi perintah Allah dan Rasul-Nya maka akan timbul keadaan penyesalan di dalam jiwa seseorang sehingga timbul keazaman untuk menjauhi dari perbuatan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda: Penyesalan itu adalah taubat. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 4242.
Lantaran itu akan timbul komponen yang ketiga iaitu perbuatan untuk meninggalkan perlakuan yang telah kita bertaubat darinya serta keinginan yang mendalam untuk tidak mengulanginya kembali pada masa yang akan datang. Keinginan untuk bertaubat itu akan timbul dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah S.W.T. dan bukan kerana faktor-faktor selain untuk mencapai keredhaan-Nya. Penyesalan yang terbit dalam jiwa seseorang akan menimbulkan semangat untuk dia mengerjakan amal-amal yang soleh demi untuk menebus kesalahan-kesalahan nya yang lampau. Firman Allah S.W.T:
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan
kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – al-Furqaan (25) : 68-70
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
Ikutilah keburukan itu dengan kebaikan maka kebaikan akan menghilangkan keburukan tadi – Hadis riwayat Imam al-Nawawi di dalam al-Adzkar, hadis no: 1084 dam Imam
al-Suyuthi di dalam al-Jami' al-Saghir, hadis no: 115.
Menurut Imam al-Nawawi r.h:
Taubat itu wajib dari tiap-tiap dosa. Sekiranya maksiat (dosa) itu hanya di antara dia dengan ALLAH, tiada berhubungan dengan hak manusia maka ada tiga syarat taubat:
1) Harus menghentikan maksiat
2) Harus menyesal atas perbuatan yang telah terlanjur dilakukannya
3) Niat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan itu kembali
Dan apabila dosa itu ada hubungan dengan hak manusia maka taubatnya ditambah syarat yang ke empat iaitu:
4) Menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak dengan minta maaf atau halalnya atau mengembalikan apa yang harus dikembalikan
- Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi,
Terjamah Riadhus Shalihin, (Victory Agencie, 1995,
Kuala Lumpur ), jilid 1, ms. 29
Ada di kalangan ulamak yang telah menggariskan beberapa syarat lain untuk menjamin kesempurnaan taubat seseorang. Di antaranya adalah seperti berikut:
1) Hendaklah dia meninggal dosa tersebut ikhlas semata-mata kerana Allah.
2) Hendaklah dia merasa bahawa dosa-dosa tersebut memberi kesan yang buruk serta merbahaya kepada pelakunya.
3) Hendaklah seseorang itu bersegera untuk bertaubat apabila menyedari kesalahan yang dilakukan kerana menunda taubat juga merupakan satu bentuk dosa.
4) Hendaklah dia merasa khuatir bahawa taubatnya tersebut memiliki kekurangan dan kemungkinan tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Sifat ini pasti akan menyebabkan seseorang itu bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan taubatnya agar diterima oleh Allah S.W.T.
5) Hendaklah dia menyempurnakan hak-hak Allah yang dia tinggalkan pada masa lampau. Contohnya sekiranya dia tidak menunaikan zakat maka hendaklah ditunaikannya kerana ianya menjadi hak golongan fakir dan miskin.
6) Hendaklah dia meninggalkan serta menjauhi tempat-tempat maksiat demi untuk mengelakkannya dari mengulangi perbuatan maksiat tersebut.
7) Hendaklah dia menjauhkan diri daripada orang-orang yang mendorongnya untuk melakukan maksiat.
8) Hendaklah dia memusnahkan segala barang-barang haram miliknya yang boleh mendorongnya untuk melakukan dosa-dosa.
9) Hendaklah dia memilih kawan-kawan yang boleh mendorongnya mengerjakan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada Allah S.W.T. Hendaklah dia rajin menghadiri kelas-kelas agama serta mendekatkan diri dengan para ulamak.
10) Hendaklah dia membersihkan tubuhnya yang telah tumbuh dari hasil pendapatan yang haram dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal-amal yang soleh
11) Hendaklah taubat tersebut dilakukan sebelum ajal hampir tiba dan sebelum matahari terbit di sebelah barat. Ini adalah kerana pintu taubat akan ditutup rapat di dalam dua keadaan yang disebutkan di atas. Dalilnya adalah seperti berikut:
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubat dan memaafkannya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim,
hadis no: 2703
Nabi s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat seseorang hamba-Nya selama ruh (nyawanya) belum sampai di tenggorokan (hampir mati). Hadis riwayat Imam
al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 3460
- Diringkaskan dari kitab Uriidu An Atuuba Wa Lakin
karya Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid Edisi
terjemahan dengan tajuk Taubat, Jalan Pintas Menebus
Dosa, At-Tibyan, Solo 2005, ms. 22-31.
Taubat yang sempurna dikenali dengan nama Taubat Nasuha. Firman Allah S.W.T:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita) : "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". - Al-Tahriim (66) : 8
Maksud perkataan Nasuha dalam firman-Nya di atas adalah suatu bentuk taubat dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan keredhaan ALLAH S.W.T dan jauh dari tujuan-tujuan yang lain. Taubat jenis ini akan menyebab seseorang itu dimasukkan ke syurga.
KEWAJIPAN BERTAUBAT
============ ========
Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan adalah mereka yang segera bertaubat serta memohon keampunan Allah S.W.T.. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Setiap anak Adam (manusia) berbuat kesalahan dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, Hadis no: 2423.
Perasaan untuk bersegera bertaubat timbul kerana wujud keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa dosa-dosa yang telah dilakukannya itu adalah berbentuk kedurhakaan kepada Allah S.W.T, ianya menjauhkan dirinya daripada Allah dan ianya bakal mengundang azab yang pedih Oleh itu Allah S.W.T amat menganjurkan hamba-hambanya untuk memohon keampunan dari-Nya serta bertaubat. Firman-Nya:
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – al-Nisaa' (4) : 17
Hukum taubat adalah Fardu 'Ain iaitu menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Dalilnya adalah firman Allah S.W.T.:
…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur (24) : 31
Ayat di atas berbentuk kata kerja perintah (ism f'il 'amar) dan ia menggambarkan Allah S.W.T. telah mewajibkan setiap hamba-Nya untuk bertaubat kepada-Nya sekiranya telah terlanjur melakukan kesalahan. Hal ini juga telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya malah baginda seorang yang bersih dari segala bentuk dosa juga senantiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T setiap hari.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Hai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan Istighfarlah (mintalah ampun) kepada-Nya maka sungguh saya bertaubat Istighfar setiap hari seratus kali. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 2702.
Sabdanya lagi:
Demi Allah, sesungguhnya saya membaca Istighfar (meminta ampun) kepada–Nya dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih dari 70 kali. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukari, hadis no: 6307.
Adakah kita merasakan diri kita lebih mulia dari Rasulullah s.a.w. ataupun kita juga bebas dari melakukan sebarang dosa sehingga memberatkan diri kita untuk memohon ampun serta bertaubat kepada Allah S.W.T .? Oleh itu hendaklah kita senantiasa memohon ampun kepada Allah S.W.T. serta bersegera untuk bertaubat kepada-Nya apabila kita terlanjur melakukan maksiat.
Justeru itu ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat akan kewajipan untuk bertaubat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi:
( Para ulamak) umat Islam telah ijmak (bersepakat) bahawa hukum bertaubat adalah fardu (wajib) atas seluruh mukminin. – Imam al-Qurthubi, al-Jaami' Li Ahkam al-Qur'an, jilid 5, ms. 90.
Pendapat ini juga telah disokong oleh Imam Ibnu Qudamah di dalam Minhaj al-Qashidin serta Imam al-Nawawi di dalam Riadhus Shalihin.
KEUTAMAAN BERTAUBAT
============ ========
Amalan bertaubat ini memiliki banyak keutamaannya. Di antaranya adalah seperti berikut.
1) Bertaubat dapat mensucikan seseorang dari dosa-dosanya
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Seseorang yang bertaubat dari dosanya itu adalah sama dengan orang yang tidak mempunyai dosa lagi. – Hadis Riwayat Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 4240
Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat akan memudahkan pengampunan Allah S.W.T terhadap dosa-dosanya.
Sabdanya:
Tiada seorang yang melakukan suatu dosa kemudian dia pergi berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kemudian memohon ampun kepada Allah melainkan Allah
akan mengampuninya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 2932.
2) Bertaubat dapat mensucikan hati seseorang dari noda yang mengotorinya. Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya seorang mukmin bila melakukan dosa, maka akan timbul satu titik noda hitam di hatinya, Jika dia bertaubat, meninggalkan perbuatan tersebut dan memohon
keampunan (kepada Allah), maka hatinya kembali bersih. Tetapi bila menambah (perbuatan dosa), maka bertambahlah noda hitam tersebut sampai memenuhi
hatinya. Maka itulah al-Raan (penutup hati) yang telah disebutkan Allah dalam firman-Nya: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka
kerjakan. (alMutaffifiin (83) : 14) – Hadis riwayat Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu Majah, hadis no: 4234.
3) Allah mengasihi mereka yang bertaubat.
SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. – al-Baqarah (2) : 222
4) Sikap bersegera untuk bertaubat merupakan ciri-ciri mereka yang berjaya.
…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur (24) : 31
5) Mereka yang bertaubat akan diberi ganjaran syurga
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu
dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai… - Al-Tahriim (66) : 8
6) Bertaubat dapat mengelakkan seseorang dari menerima balasan yang pedih daripada Allah S.W.T di dunia mahupun di akhirat. Firman-Nya:
Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan
menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. – al-Tawbah (9) : 74
Sebaliknya bagi mereka yang bertaubat Allah S.W.T memberi nikmat kesenanngan hidup di dunia mahupun di akhirat. Firman-Nya:
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya) . – Hud (11) : 3
7) Mereka yang bertaubat bebas dari sifat gololongan yang zalim kerana Allah S.W.T menyifatkan mereka yang enggan bertaubat sebagi zalim. Firman Allah S.W.T.:
Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. – al-Hujuraat (49) : 11
Demikianlah beberapa keutamaan bertaubat yang sempat penulis perturunkan. Semoga ianya dapat menjadi sumber motivasi kepada kita semua untuk bersegera melakukan taubat di atas segala kesalahan yang telah kita lakukan.
ADAKAH ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT HAMBANYA YANG BERGELUMANG DENGAN MAKSIAT?
============ ========= ========= ========= ============ ===
Ramai di antara mereka yang telah melakukan pelbagai jenis maksiat merasakan mereka sudah tiada harapan lagi untuk bertaubat serta menerima kemaafan daripada Allah S.W.T.. Sikap ini sebenarnya tidak tepat kerana ianya menyalahi sifat Allah S.W.T. yang Maha Pengasih serta Penyayang terhadap hamba-hamba- Nya malah di antara sifat-Nya yang mulia adalah menerima permohonan taubat dari hamba-hamba- Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:
Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba- Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. – al-Syuura (42) : 25
Tambahan lagi Allah S.W.T amat kasih kepada hamba-hambanya yang bertaubat dan menyukai untuk menerima taubat mereka bahkan memperkenankan taubat hamba-hamba- Nya merupakan sesuatu yang benar-benar mudah bagi-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hamba-Nya, melebihi dari kesenangan seorang yang menemukan kembali dengan tiba-tiba untanya yang telah hilang di tengah hutan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6309
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seseorang hamba-Nya, melebihi dari kesenangan orang yang berkenderaan di hutan, kemudian hilang, sedang kenderaan itu penuh membawa bekal makanan dan minumannya, sehingga dia putus harapan untuk mendapatkannya kembali, lalu dia duduk di bawah pohon dengan kecewa dan putus asa; tiba-tiba ketika dia bangun dari tidurnya, kenderaannya telah ada kembali di depannya lengkap dengan bekalnya, maka segera dia pegang kendalinya sambil berkata: Ya Allah, Engkau hambaku, dan aku Tuhannya. Terlanjur (keliru) lidahnya kerana sangat gembira. Terbaliknya lidahnya sebagaimana di atas itu maka Allah lebih gembira menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kegembiraan orang yang menemu kembali harapannya itu. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 2747
Oleh itu dapat kita fahami bahawa walau bagaimana besar sekalipun dosa yang dipikul oleh seseorang itu maka Tangan Allah sentiasa terbuka untuk menerima taubat hamba-hamba- Nya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla melebarkan Tangan-Nya untuk menerima taubat bagi seseorang yang berbuat keburukan pada waktu malam hingga siang hari dan untuk orang-orang yang berbuat keburukan di waktu siang hingga malam hari. Hal ini berterusan sehingga terbitnya matahari dari sebelah barat (yakni setelah hampir waktu kiamat). – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 2759
Allah S.W.T akan akan mengampunkan segala bentuk dosa yang dilakukan oleh hamba-hambanya selagimana mereka tidak melakukan perbuatan syirik. Berikut penulis paparkan firman Allah S.W.T. di dalam dua buah hadis qudsi untuk membuktikan kenyataan di atas:
Firman Allah Ta'ala: Barangsiapa yang mengetahui bahawa Aku mempunyai kekuasaan untuk mengampuni dosa-dosa, nescaya Aku telah mengampuni dosa-dosanya dan Aku tidak peduli (terhadap dosanya yang bamyak), selagi dia tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu apapun. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami' al-Saghir, hadis no: 6054
Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, nescaya Aku ampuni dosa-dosamu yang telah lampau dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosamu mencapai petala langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau
mendatangi-Ku dengan membawa sepenuh bumi kesalahan, kemudian engkau mendatangi-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan- Ku dengan sesuatu apapun, nescaya Aku akan mendatangimu dengan sepenuh bumi ampunan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 3463.
Berikut pula disertakan sebuah kisah di mana seorang yang telah membunuh seratus manusia lalu dia ingin melakukan taubat maka Allah S.W.T telah mempermudahkan urusannya serta menerima taubatnya. Nabi s.a.w . bersabda:
Dahulu pada umat-umat yang terdahulu, terjadi seorang telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, kemudian dia ingin bertaubat, maka dia mencari seorang alim, dan ditunjukkan kepada seorang pendeta, maka dia bertanya bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa maka apakah ada jalan untuk bertaubat?
Jawab pendeta tersebut tidak ada. Maka segera dibunuh pendeta tersebut sehingga genap seratus orang yang telah dibunuhnya. Kemudian dia mencari orang alim yang lainnya, dan ketika telah ditunjukkan maka dia menerangkan bahawa dia telah membunuh seratus orang,apakah ada jalan baginya untuk bertaubat? Jawab si alim tersebut: Ya ada, dan siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke dusun itu kerana di sana banyak orang-orang yang taat kepada Allah, maka berbuatlah sebagaimana perbuatan mereka, dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ianya tempat penjahat.
Maka pergilah orang itu ke sana. Tatkala di tengah perjalalanan dia mati secara mendadak. Maka bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Siksa. Berkata Malaikat Rahmat: Dia telah berjalan untuk taubat kepada Allah dengan sepenuh hatinya. Berkata Malaikat Siksa: Dia belum pernah berbuat kebaikan sama sekali. Maka datanglah seorang malaikat yang menyerupai manusia dan dijadikannya sebagai juri (hakim) di antara mereka.
Maka dia berkata: Ukurlah sahaja di antara dua dusun yang ditinggalkan dan yang ditujui, maka ke mana dia lebih dekat maksukkanlah dia kepada golongan orang di sana. Maka diukurnya dan didapati dia lebih dekat kepada dusun baik yang
ditujunya berukuran sejengkal, maka dipegang ruhnya oleh Malaikat Rahmat. - Hadis riwayat Imam Muslim di
dalam Shahih Muslim, hadis no: 2766.
Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam riwayat lain Allah memerintahkan kepada bumi yang dituju supaya mendekat
dan menyuruh bumi yang ditinggalkan supaya menjauh – Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi,
Terjemahan Riadhus Shalihin (Victory Agencie, 1995 Kuala Lumpur), jilid 1, ms. 35.
Lihatlah bagaimana Allah S.W.T, membantu hamba-Nya yang benar-benar ikhlas untuk bertaubat kepada-Nya sedangkan hamba-Nya tersebut telah melakukan dosa yang amat besar. Oleh itu bagi mereka yang sepanjang hidupnya telah bergelumang dengan pelbagai jenis dosa janganlah mereka putus harapan dan hendaklah segera bertaubat. Firman Allah S.W.T.:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. – al-Zumar (39) : 53-54
KESIMPULAN
==========
Generasi umat Islam pada zaman ini bukan sekadar tidak melaksanakan segala suruhan Allah S.W.T serta Rasul-Nya malah mereka juga meremeh-remehkan perkara-pekara yang dilarang oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Hal ini juga telah wujud pada zaman para sahabat r.a masih hidup. Anas bin Malik r.a umpamanya pernah mengkritik mereka yang hidup pada zamannya dengan berkata:
Sesungguhnya kalian melakukan perbuatan dosa yang menurut pandangan kalian lebih lembut dari sehelai rambut, padahal pada zaman Nabi s.a.w. kami memandangnya sebagai sesuatu yang membinasakan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih
al-Bukhari, hadis no: 6492.
Hal tersebut terjadi kepada umat Islam yang hidup pada kurun-kurun yang terbaik yang mana para sahabat Nabi masih hidup lagi. Sekiranya Anas bin Malik r.a hidup pada zaman sekarang dan dapat melihat segala kemungkaran yang dilakukan oleh umat Islam secara berleluasa tanpa segan dan silu pasti beliau akan lebih terperanjat dan sedih dengan keadaan ini.
Oleh itu disebabkan kita kini hidup di dalam suasana yang mana maksiat dilakukan sewenang-wenangnya dan pintu-pintu untuk melakukan maksiat terbuka dengan luas maka kita sebenarnya terdedah kepada godaan untuk melakukan perbuatan maksiat malah sering juga kita tertewas ketika berhadaan dengan godaan-godaan tersebut. Justeru itu hendaklah kita sentiasa perbanyakkan permohonan keampunan serta bersegera untuk bertaubat di atas segala kelalaian kita. Firman Allah S.W.T
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). – 'Aali Imraan (3) : 135
MOHD YAAKUB MOHD YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di
Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad.
Untuk sebarang maklum balas berkaitan artikel ini sila
hubungi beliau melalui e-mail akob73@yahoo. com atau di
talian 016 - 2640 722
Monday, January 15, 2007
KENAPA TIDAK MAHU BERTAUBAT???
Posted by pu3_raudhah at 9:15 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment