Friday, July 24, 2009

AKSIOLOGI TARBIAH; KE ARAH PEMBERSIHAN HATI

dipetik dr presiden GAMIS

Jika benar aksiologi sebuah tarbiah itu adalah untuk menyucikan hati, maka bagaimanakah pandangan tarbiah terhadap aksi bantahan yang menggunakan kelasakan fizikal atau kelicikan berfikir? Bagaimana pula pandangan tarbiah terhadap manipulasi media yang dimainkan sebagai bahan propaganda yang mana; kesemua ini mengeraskan lagi keinginan hati untuk tunduk dan tadharru’ kepada pencipta.

Maka tarbiah ada jawapannya. Mengikut sejarah kehidupan para sahabat yang mulia, orang yang terbiasa dengan peperangan ada masa-masa tertentu untuk direhatkan. Tujuan rehat itu, selain rehatnya adalah untuk memulihkan kekuatan fizikal dan mengubat rasa rindu terhadap keluarga atau ketenangan, ia juga sebagai satu peluang untuk tentera Islam melenturkan kembali hati yang keras agar lembut dan mudah khusyu’ kepada Allah.



Maka mata yang terbiasa melihat darah yang terpancut di hadapan mata mestilah diubat dengan titisan air yang takutkan Allah. Badan yang dipenuhi debu pasir peperangan mestilah dihiasi dengan debu sendu dan sebak munajat yang bertali arus. Suara kuat yang dilaungkan untuk membangkitkan semangat, memberi arahan dan menakutkan musuh diganti dnegan suara perlahan berdoa dan meminta harap kepada Allah.

Tarbiah ada jawapan kedua. Tarbiah tidak mengizinkan kesemua orang keluar berperang serentak. Maka di sana ada golongan yang direhatkan khas untuk menuntut ilmu sepuncak-puncaknya agar kelak mereka yang akan memberikan peringatan kepada golongan tentera Islam. Peringatan agar mereka tidak berbangga dengan kemenangan jika mereka menang. Peringatan agar mereka tidak lemah semangat jika mereka kalah. Peringatan agar mereka bersungguh memburu syahid. Juga di samping menambahkan ilmu dan thaqafah dalam dada agar bertambah utuh dan kukuh.

Tarbiah menyediakan jawapan ketiga. Sahabat handai, atau mungkin isteri harus memainkan peranan penting untuk sentiasa menghembuskan keimanan dalam diri pejuang. Mungkin seorang ahli gerakan Islam pulang daripada aksi demonstrasi yang sarat dengan amarah (seperti contoh himpunan mansuhkan ISA), maka sahabat yang tidak berkesempatan untuk pergi kerana ada masalah, atau isteri, atau sesiapa sahaja yang berkesempitan, atau mungkin ketua gerakan (meskipun ia pergi), mestilah sentiasa memperingatkan agar pejuang tidak leka untuk membersihkan hati mereka dari masa ke masa agar perjuangan mereka diredhai oleh Allah.

Inilah aksiologi dalam tarbiah. Segalanya kembali kepada satu hakikat yang terang-benderang, iaitu pembersihan hati dalam membentuk jiwa yang bersyukur kepada Allah yang Maha Kuasa.

0 comments: