Oleh : abufateh
Saya lebih suka menulis tajuk sebegini daripada menyibukkan diri dengan isu kemelut politk negara. Bukan menolak politik, bahkan ianya sudah sedarah dan sedaging dengan saya sejak dari bangku sekolah lagi. Ini kerana saya yakin anda mampu mencari capaian terbaik dalam memahami sepak terajang politik yang yang makin memualkan. Cukuplah dengan ramai yang mengulas dan mencelarukan keadaan.
Sengaja saya bukakan tajuk sebegini lantaran ianya menjadi pokok perbincangan yang sentiasa menjadi kontroversi di kalangan pertubuhan Islam. Entri kali ini juga mungkin menjadi kontroversi andai disalah faham isinya.
Soal tarbiah merupakan satu pencarian yang kritikal bagi remaja khususnya mahasiswa. Lebih-lebih lagi bila ianya diisukan dengan persoalan jemaah mana yang perlu diberi intima'.
Tarbiah kami lebih mantap, sufi lagi haraki dan mendekati sunnah nabi saw adalah antara dakwaan yang acap kali diulang siar. Lebih mencuit hati ada yang dengan kenyataan bahawa dakwah mereka lebih ikhwan atau seakan-akan PKS di Indonesia. Mengapa sandaran sebegini dijadikan hujah dalam menggalas bebanan khalifah di bumi Allah SWT? Sedang strategi, wasilah dan pendekatan untuk mencuit hati madue' itu sesuatu yang fleksibel juga bergantung kepada waqie' lokaliti setempat.
Apabila menyentuh persoalan tarbiah ramai yang akan merujuk pandang kepada model Ikhwan Muslimin. Alasannya, mereka terlebih dahulu mengenal asam garam dalam dunia dakwah Islamiyyah. Hinggakan ramai yang melupakan jalan yang pernah dirintis ulama', pada murabbi, dan kaum muslimin sebelum wujudnya Ikhwan Muslimin di Mesir. Bagi saya Ikhwan adalah satu model bukan satu-satunya model yang ada.
Seakan-akan tulisan saya kali ini membenci Ikhwan. Tidak ! Saya hanya berhajat untuk membuka mata segelintir masyarakat yang menyempitkan erti tarbiah. Siapa saya dan siapa kita jika dibanding dengan jasa, ilmu dan hikmah kurniaan Allah kepada Imam Hassan al-Banna. Bahkan saya bersama dengan rujukan ikhwan dalam memahami dunia harakah Islamiyah, tapi jauh sekali untuk menjadikan kalam daripada ikhwan sebagai nas. Qatie'nya nas hanya bila datang daripada sumber al-Quran dan Sunnah nabi saw.
Cuba kita teliti pentarbiahan di kalangan ahli tarikat dalam memahmudahkan akhlak, sejarah turut menukilakan bahawa kelompok ini banyak berjasa dalam penyebaran Islam di Eropah satu ketika dahulu. Ianya satu juzuk daripada tarbiah dan tazkiah. Jangan dilupakan didikan para ulama' pondok satu ketika dahulu dalam membentuk murid yang faham, beramal, dan berjasa kepada agama.
Para ulama di zaman kegemilangan ilmu Islam melalui tarbiah dan akhirnya mentarbiah. Mereka punyai method tersendiri dalam mendidik masyarakat menghayati agama. Bagaimana cekalnya mereka melakarkan kecemerlangan dalam sejarah kebangkitan Islam dengan penyuburan ilmu dan amal perlu dicungkil kembali. Sejarah dulu sebelum kejatuhan khilafah banyak bergantung kepada kesedaran masyarakat daripada majlis-majlis ilmu bersama ulama'. Dengan tersebarnya kefahaman ilmu, kita dapat membaca sendiri sejarah kekuatan ummah yang berjaya dibangkitkan dalam jihad fisbilillah samaada menentang musuh atau peluasan empayar Islam.
Dr. Yusuf al-Qardawi pernah membukukan ceramah beliau berkenaan dengan tarbiah di sisi Imam Syatibi (at-tarbiah 'inda Imam as-Syatibi). Mungkin buku kecil ini boleh ditekuni sebagai contoh method tarbiah dalam bentuk disiplin pengajaran ilmu kepada masyarakat.
Tarbiah adalah satu seni. Teknikalnya fleksibel, isiya tetap dan tidak berubah.
Dalam buku 'Wasail Tarbiah 'inda al-Ikhwanul Muslimin- Wasilah Tarbiah di sisi Ikhwan Muslimin' tulisan Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, ulama' ikhwan mengklasifikasikan tarbiah kepada 7 element. Usrah, khatibah, rehlah, mukhayyam, daurah, nadwah dan muktamar.
Inilah yang bersarang dibenak jiwa segelintir daripada kita bila soal tarbiah ditimbulkan. Tanpa usrah, khatibah dan yang sewaktu denganya maka tiadalah tarbiah. Justeru itu saya tanyakan kepada anda mengapa disempitkan sebegitu makna pentarbiahan? Sedangkan dalam membawa message dakwah ianya perlu dilihat kepada sasaran madue' yang dituju.
Dakwah tidak hanya bertumpu kepada sekelompok manusia yang sudah dicampak oleh Allah Ta'ala ke dalam hatinya minat kepada Islam. Anda hanya akan syok sendiri berprogram dengan mereka sebegini. Dalam konteks Malaysia sahaja kita dihadapkan dengan latar madue' yang pelbagai. Daripada pendokong agama sehinggalah musuhnya, daripada mukmin yang sudah indah iman dan amalnya sehinggalah muslim yang fajir lagi lemas dalam lautan maksiat, daripada yang memegang kad pengenalan Islam hinggalah yang ingin menukarnya kepada status yang lain, bahkan dakwah kita didepani dengan tanggungjawab memperkenalkan agama kepada hampir separuh penduduk yang belum mengenal syahadah.
Dakwah dan tarbiah sewajibnya dibawa kepada segenap lapis masyarakat yang kenal huruf untuk dibaca sehinggalah yang tidak mampu mengeja. Anda menzalimi para petani dan nelayan sekiranya dakwah hanya ditumpukan kepada golongan profesional, dan anda menzalimi mereka yang jahil sekiranya hanya berlegar seruan Islam di kalangan mereka yang bijak pandai. Bahkan anda menzalami mereka yang fajir sekiranya hanya seronok bersama mereka yang sudah baik akhlak di ruang legar masjid dan halaqah usrah.
Memilih madue' bukanlah sunnah Rasulullah saw. Untuk lebih jelas saya cadangkan anda menekuni asbab nuzul suruh Abasa. Tiada dalam sunnah menghimpunkan golongan elit di satu sudut dakwah dan melonggokan mereka di kelas menegah dan bawahan diceruk yang lain. Sekiranya berlaku, sedar atau tidak kita telah membina benteng yang pernah dirobohkan semasa perjuangan baginda saw.
Justeru keterikatan kepada method usrah, khatibah, mukhayyam dan sebagainya dalam mentarbiah perlu disesuaikan dengan keadaan latarbelakang madue'. Sekiranya ada yang masih melihat tanpa usrah tiadalah tarbiah, pada saya anda gagal memahami ijtihad ikhwan dalam menyusun tarbiah gerakan sebuah harakah Islamiyyah. 7 method pendidikan di sisi mereka sebenarnya lebih kepada pembinaan kader-kader yang akan menguatkan jemaah, lebih tepat lagi ianya dalam usaha pembinaan secara khusus individu di dalam jemaah (tarbiah khususiah). Bagaimana pula dengan dakwah kepada mereka yang berada di luar pagar jemaah? Inilah juga perlu dititik beratkan.
Mana mungkin secara praktikalnya kita menyeret seluruh masyarakat ke medah usrah. Saya yakin anda mampu menarik mereka yang berpendidikan dan ada minat kepada Islam untuk duduk sejam dalam halaqah sebegini. Bagaimana pula dengan masyarakat kampung dan bandar yang belum pernah mengenal program dalam bentuk bulatan sebegini diajak bersama? Sekiranya mampu diajak bersama sekalipun adalah kita mampu mengumpulkan semua masyarakat di satu kawasan untuk berusrah. Saya yakin sekiranya anda kata mampu, anda hanya berteori dalam medan ini.
Sedangkan masyarakat kecil di sekolah dan kampus gagal diusrahkan seluruhnya.
Apa yang lebih mereka kenal lagi serasi ialah kuliah mingguan di masjid-masjid. Kedekut sangat andainya kita mengatakan ustaz dan para alim ulama' yang mengajar tidak mendidik masayarakat. Bahkan tarbiah bil hal tidak perlu kepada program rasmi.
Jadi adakah di wasilah lain yang mampu mentarbiah masyarakat? Jawab saya, bukan sekadar 7 bahkan ianya lebih lagi.
Saya cadangkan anda bersama dengan buku-buku ini untuk memahami tarbiah :
1. Beberapa pelajaran tentang Amal Islam - (ad-Durus fil Amal Islami) - Said Hawa
2. Tarbiyatuna Ruhiyyah - Said Hawa.
3. Wasail at-Tarbiah 'inda Ikhwan Muslimin - Dr. Ali Abdul Halim Mahmud
4. Islam ; Fikrah, Harakah dan Daulah - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
5. at-Tarbiah 'inda imam as-Syatibi - Dr. Yusuf al-Qardawi
(sumber drp www.ulamaummah.blogspot.com)
Sunday, July 26, 2009
TARBIAH - mengapa disempitkan pengertiannya...
Posted by pu3_raudhah at 12:43 PM 1 comments
Friday, July 24, 2009
AKSIOLOGI TARBIAH; KE ARAH PEMBERSIHAN HATI
dipetik dr presiden GAMIS
Jika benar aksiologi sebuah tarbiah itu adalah untuk menyucikan hati, maka bagaimanakah pandangan tarbiah terhadap aksi bantahan yang menggunakan kelasakan fizikal atau kelicikan berfikir? Bagaimana pula pandangan tarbiah terhadap manipulasi media yang dimainkan sebagai bahan propaganda yang mana; kesemua ini mengeraskan lagi keinginan hati untuk tunduk dan tadharru’ kepada pencipta.
Maka tarbiah ada jawapannya. Mengikut sejarah kehidupan para sahabat yang mulia, orang yang terbiasa dengan peperangan ada masa-masa tertentu untuk direhatkan. Tujuan rehat itu, selain rehatnya adalah untuk memulihkan kekuatan fizikal dan mengubat rasa rindu terhadap keluarga atau ketenangan, ia juga sebagai satu peluang untuk tentera Islam melenturkan kembali hati yang keras agar lembut dan mudah khusyu’ kepada Allah.
Maka mata yang terbiasa melihat darah yang terpancut di hadapan mata mestilah diubat dengan titisan air yang takutkan Allah. Badan yang dipenuhi debu pasir peperangan mestilah dihiasi dengan debu sendu dan sebak munajat yang bertali arus. Suara kuat yang dilaungkan untuk membangkitkan semangat, memberi arahan dan menakutkan musuh diganti dnegan suara perlahan berdoa dan meminta harap kepada Allah.
Tarbiah ada jawapan kedua. Tarbiah tidak mengizinkan kesemua orang keluar berperang serentak. Maka di sana ada golongan yang direhatkan khas untuk menuntut ilmu sepuncak-puncaknya agar kelak mereka yang akan memberikan peringatan kepada golongan tentera Islam. Peringatan agar mereka tidak berbangga dengan kemenangan jika mereka menang. Peringatan agar mereka tidak lemah semangat jika mereka kalah. Peringatan agar mereka bersungguh memburu syahid. Juga di samping menambahkan ilmu dan thaqafah dalam dada agar bertambah utuh dan kukuh.
Tarbiah menyediakan jawapan ketiga. Sahabat handai, atau mungkin isteri harus memainkan peranan penting untuk sentiasa menghembuskan keimanan dalam diri pejuang. Mungkin seorang ahli gerakan Islam pulang daripada aksi demonstrasi yang sarat dengan amarah (seperti contoh himpunan mansuhkan ISA), maka sahabat yang tidak berkesempatan untuk pergi kerana ada masalah, atau isteri, atau sesiapa sahaja yang berkesempitan, atau mungkin ketua gerakan (meskipun ia pergi), mestilah sentiasa memperingatkan agar pejuang tidak leka untuk membersihkan hati mereka dari masa ke masa agar perjuangan mereka diredhai oleh Allah.
Inilah aksiologi dalam tarbiah. Segalanya kembali kepada satu hakikat yang terang-benderang, iaitu pembersihan hati dalam membentuk jiwa yang bersyukur kepada Allah yang Maha Kuasa.
Posted by pu3_raudhah at 10:53 AM 0 comments